Seperti berada di ‘Mini Dhaka’
[LAPORAN KHAS] SHAH ALAM - Seperti ‘Mini Dhaka’. Itulah situasi yang dapat dilihat di Kampung Baru Sungai Buloh di sini apabila semakin ramai warga asing dari Bangladesh mendiami perkampungan tersebut.
Tinjauan Sinar Harian di kawasan perindustrian berhampiran kampung berkenaan mendapati ribuan warga Bangladesh membanjiri hampir setiap ceruk kawasan itu dengan lagak dan gaya hidup seolah-olah mereka sedang berada di negara asal.
Ramai penduduk tempatan yang menyatakan rasa tidak selesa mereka malah bimbang dengan tahap keselamatan apatah lagi warga asing itu didakwa bersikap pengotor, sering mabuk dan bergaduh sesama sendiri.
Lebih menjengkelkan, walaupun kebanyakan warga Bangladesh itu bekerja di kilang-kilang berdekatan, namun jumlah mereka yang semakin bertambah menyebabkan mereka mula memonopoli perniagaan di situ.
Bayangkan, tinjauan Sinar Harian mendapati lebih 10 buah kedai termasuk kedai runcit, kedai makan dan kedai telekomunikasi diusahakan warga dari negara Asia Selatan itu.
Kebanjiran warga Bangladesh di kawasan itu mewujudkan sebuah pasar dikenali sebagai Pasar Bangladesh yang membekalkan barangan dari negara asal mereka.
Penduduk tempatan mendakwa, kehadiran warga asing di situ sejak lebih 20 tahun lalu kian merimaskan selain mereka bimbangkan keselamatan diri dan keluarga.
Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Roy mendakwa, ada sebahagian warga Bangladesh itu tinggal di rumah yang dibina daripada kepingan zink seperti rumah kongsi.
Menurut Roy, rumah tersebut sebenarnya dibina penduduk tempatan yang kemudian menyewakannya kepada warga Bangladesh untuk mengaut keuntungan.
“Setiap bilik disewakan pada harga antara RM500 dan RM1,000. Pemilik rumah terima hasil lumayan tetapi penduduk tempatan yang menerima kesannya.
“Sejak lima tahun kebelakangan ini, jumlah warga Bangladesh di sini semakin bertambah,” kata beliau.
Seorang lagi penduduk, Kumara Devan, 39, berkata, penduduk setempat sentiasa berasa kurang selamat dengan kehadiran ribuan warga asing berkenaan.
“Pihak polis sering melakukan pemantauan di sini, namun apabila bilangan warga asing itu makin ramai, mereka jadi besar kepala. Mereka membuang sampah merata-rata sehingga kawasan perkampungan kotor dan busuk,” dakwanya.
Seorang peniaga yang ingin dipanggil Hong sahaja berkata, Pasar Bangladesh berkenaan telah lama wujud di Kampung Baru Sungai Buloh dan video mengenainya tular beberapa minggu kebelakangan ini.
Ujar Hong, warga Bangladesh yang menjalankan perniagaan di pasar tersebut sering mengabaikan kebersihan.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Baru Sungai Buloh, Hoo Sook Wan berkata, sebelum ini, pihak berkuasa pernah melakukan beberapa operasi ke atas aktiviti warga asing tersebut.
Bagaimanapun, katanya, memandangkan terdapat banyak kilang yang beroperasi di situ, isu lambakan warga asing dilihat masih berterusan tanpa sebarang penyelesaian.< /p>
“Operasi oleh pihak berkuasa memang banyak dilakukan, namun ia bukan penyelesaian menyeluruh.
“Kalau di Kuala Lumpur isu peniaga warga asing dapat diselesaikan, mengapa tidak di Selangor?
“Saya harap pihak terbabit akan berusaha menyelesaikan perkara ini kerana majoriti penduduk sudah lama merungut mengenainya,” kata beliau.
Digelar nadi ekonomi Malaysia, Lembah Klang menjadi tumpuan jutaan penghuni kota tidak terkecuali warga asing dan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!