Temani isteri tanam nanas, jual buah walaupun terlantar

A
A
A

TANAH MERAH - Betapa mulianya kasih seorang isteri apabila tidak pernah berenggang dengan suaminya yang terlantar, ke mana sahaja pasti akan bersama meskipun sang suami berkerusi roda.

Itulah yang dilakukan Noor Aklima Husin, 41, yang sentiasa membawa suaminya, Mohd Zuri Ab Shapar@Ab Satar, 38, ketika keluar bercucuk tanam dan menjual buah di tepi jalan.

Mohd Zuri lumpuh dari leher ke bawah akibat kecederaan saraf tunjang sejak 2014 juga sering mengalami sesak nafas dan berbahaya jika ditinggalkan sendirian.

Noor Aklima berkata, sebelum ini suami selalu menemaninya menjual buah di tepi jalan mahupun di pasar borong kerana tidak sanggup meninggalkannya sendirian di rumah sementara dua anaknya bersekolah.

“Hampir 10 tahun kami menjual buah yang diambil daripada pemborong. Jadi beberapa bulan lalu timbul idea untuk kami tanam sendiri buah nanas, bolehlah tambah pendapatan kami lagi.

“Apabila bercucuk tanam ini memanglah panas. Saya kasihan suami terpaksa berpanas, tapi lebih baik dia berada di depan mata saya daripada saya tinggalkan dia di rumah sendirian. Saya tak sanggup,” katanya ketika ditemui di Kampung Bukit Gading di sini.

Noor Aklima berkata, sejak tiga minggu menanam nanas, suaminya yang terbaring di kerusi roda berdekatan dengan tapak penanaman itulah yang banyak memberikan tunjuk ajar kepadanya.

Katanya, dia langsung tidak tahu cara untuk menguruskan penanaman nanas tetapi berkat tunjuk ajar daripada suami, dia yang turut dibantu dua orang anak selepas mereka pulang dari sekolah mampu menjaga 50,000 pokok nanas jenis madu kaca.

Artikel Berkaitan:

Sentiasa tersenyum ketika berbicara cukup menggambarkan wanita ini sangat tabah dan reda dengan perjalanan hidup diri dan keluarganya yang tinggal di Jalan Kubur, Tanah Merah.

Noor Aklima berkata, bermula jam 9 pagi dia akan mengusung suaminya ke dalam kenderaan yang dipinjamkan rakannya untuk ke tapak penanaman dan itu semua tidak pernah dianggap sebagai perkara yang membebankan dirinya.

Sangat beruntung Mohd Zuri ketika mana dia diuji dengan penyakitnya itu, isteri yang dinikahi sejak 16 tahun lalu masih setia bersama dan sanggup menempuh hidup tanpa merungut terhadap dirinya yang lumpuh.

Mohd Zuri berkata, meskipun terbaring di atas kerusi roda namun dia masih membantu isterinya dengan memberikan tunjuk ajar dan kata-kata semangat.

Katanya lagi, dia sedar yang dirinya tidak lagi gagah seperti sebelum ini yang mampu berulang-alik bekerja di Pahang, namun di sebalik ketidakupayaan itu dia mesti kuat dan menjadi contoh kepada dua orang anaknya yang berusia 13 dan 17 tahun.

"Selain bantuan RM350 daripada Jabatan Kemajuan Masyarakat, saya juga sentiasa berusaha supaya perbelanjaan untuk kegunaan diri iaitu lampin pakai buang, susu dan juga kos membeli beg air kencing sentiasa mencukupi," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu, boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank Islam (‪03-054-02-018482-4‬) atas nama Noor Aklima Husin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!