Peragut dicekup penguat kuasa, orang awam
JOHOR BAHRU - Tindakan pantas anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan orang awam berjaya menahan seorang peragut dalam kejadian di Taman Mount Austin di sini tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, suspek berusia 32 tahun itu telah meragut beg tangan seorang wanita berusia 30 tahun sebelum suspek terjatuh daripada motosikal yang ditunggangnya dalam kejadian kira- kira jam 12.45 tengah hari.
"Mangsa menjerit meminta bantuan dan seorang anggota penguat kuasa MBJB yang sedang bertugas serta orang awam bertindak menahan suspek.
"Polis merampas motosikal digunakan suspek, topi keledar dan beg tangan mangsa sebagai barang kes," katanya.
Beliau berkata, pihaknya mengucapkan tahniah atas keberanian dan tindakan pantas anggota penguat kuasa MBJB di lokasi kejadian serta orang awam yang terlibat membantu polis dalam kes ragut itu.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda atau sebat jika sabit kesalahan," katanya.
Beberapa video memaparkan kejadian ragut itu berlaku dan tindakan penguat kuasa MBJB serta beberapa orang awam menangkap peragut terbabit turut tular di media sosial dan mendapat pujian netizen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!