Bukan satu pendekatan terbaik: Khaled

Mohamed Khaled Nordin
Mohamed Khaled Nordin
A
A
A

JOHOR BAHRU - Perancangan kerajaan negeri menyediakan insentif tertentu termasuk pengecualian cukai bagi menarik minat pelabur untuk melabur di wilayah Utara Johor mendapat reaksi bekas menteri besar.

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, insentif itu merupakan cubaan menyuruh pelabur termasuklah asing untuk lebih mengutamakan wilayah Utara berbanding Selatan negeri ini.

“Dasar seperti ini bukanlah satu pendekatan yang terbaik buat masa sekarang.

“Saya mempunyai beberapa alasan untuk menentang dasar sedemikian,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden Umno berkata, Johor Utara sudah pastinya mempunyai kelebihan tersendiri untuk menarik kedatangan para pelabur tempatan mahupun antarabangsa.

Katanya, Johor utara seperti Muar adalah kawasan yang mempunyai produk serta aktiviti ekonomi unik dan tersendiri seperti pembuatan perabot dan hab pendidikan.

“Syarikat dan pengusaha perabot tempatan telah berjaya menjadikan Muar sebagai Hab Perabot bertaraf dunia tanpa mengharapkan insentif pengecualian cukai. Jadi, kelebihan ini sepatutnya digunakan sebagai tarikan serta pemangkin untuk mengembangkan aspek pelaburan yang lain pula.

“Bukannya melepaskan peluang untuk mendapatkan pendapatan dan pulangan kepada Kerajaan Negeri dengan memberi kelebihan kepada pelabur asing,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kemungkinan Menteri Besar Johor sudah ketandusan idea untuk membangunkan wilayah Utara Johor tanpa perlu melepaskan peluang kerajaan negeri untuk mendapatkan hasil.

“Saya percaya cadangan ini dilakukan demi menjayakan manifesto PH untuk merancakkan pembangunan di wilayah Utara Johor. Malangnya, tekanan mengotakan janji ini telah menyebabkan Menteri Besar Johor memilih jalan pintas tanpa berfikir panjang.

“Saya tegaskan sekali lagi, bangunkanlah wilayah Utara Johor dengan cara yang tidak merugikan negeri. Berilah lebih banyak peluang dan kelebihan kepada pelabur dan anak tempatan. Jangan guna jalan pintas. Johor tidak terdesak,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!