Persidangan Dewan Negara berlangsung dalam suasana normal baharu

Tan Sri Dr Rais Yatim dimasyhurkan sebagai Yang Dipertua Dewan Negara ke-18 pada Upacara Mengangkat Sumpah Ahli Dewan Negara di Dewan Negara, Bangunan Parlimen hari ini.
 -Foto Bernama
Tan Sri Dr Rais Yatim dimasyhurkan sebagai Yang Dipertua Dewan Negara ke-18 pada Upacara Mengangkat Sumpah Ahli Dewan Negara di Dewan Negara, Bangunan Parlimen hari ini.
 -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Negara yang bermula hari ini berlangsung dalam suasana normal baharu dengan beberapa prosedur operasi standard (SOP) digariskan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim ketika membacakan SOP itu mengingatkan semua ahli Dewan supaya sentiasa mematuhi penjarakan fizikal.

"Kita perlu melalui normal baharu bagi mengekang penularan pandemik ini, begitu juga di Dewan Negara ini. Tambahan pula seramai 29 orang Ahli Dewan Negara berumur melebihi 60 tahun yang pastinya lebih berisiko.

"Sehubungan itu, Parlimen menyediakan SOP fasa pemulihan persidangan Parlimen bagi memastikan Yang Berhormat dapat bersidang dengan selamat dan terkawal seterusnya mencegah penularan pandemik ini," katanya.

Antara SOP yang digariskan adalah pemasangan penghadang lut sinar, pegawai kerajaan yang terlibat dengan urusan jawapan menteri dan timbalan menteri ditempatkan di tempat duduk pegawai dengan kehadiran terhad serta tiada pelawat dibenarkan dan galeri awam tidak akan digunakan tertakluk kepada situasi semasa.

Rais turut memohon perhatian dan kerjasama semua ahli Dewan bagi urusan pengagihan dokumen, aturan, urusan mesyuarat, laporan dan lain-lain dokumen yang berkaitan berikutan terdapat pergerakan yang terhad oleh pihak bentara.

Selain itu, kesemua ahli Dewan dinasihatkan untuk memakai pelitup muka pada setiap masa kecuali semasa berucap, dan pelitup muka juga boleh dibuka semasa hendak mengemuka atau menjawab pertanyaan dan perbahasan.

"Ini adalah nasihat daripada Kementerian Kesihatan. Saya faham pasti terdapat ketidakselesaan dengan pelaksanaan cara ini tapi percayalah ia adalah untuk kebaikan dan kemaslahatan semua pihak. Sehubungan itu, saya mohon jasa baik dan kerjasama semua ahli Dewan untuk mematuhi kaedah ini bagi kebaikan kita bersama.

Artikel Berkaitan:

"Sama-sama kita berdoa agar pandemik ini segera dibendung sepenuhnya dan tidak lagi memberi ancaman kepada kita. Dengan izin ALLAH SWT, negara kita dapat kembali seperti sedia kala dan Parlimen dapat bersidang seperti biasa selepas ini," katanya.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!