Hala tuju parti anak muda tidak jelas: Juwairiya

Gambar dari kiri: Syed Saddiq, Juwairiya - FOTO ROSLI TALIB
Gambar dari kiri: Syed Saddiq, Juwairiya - FOTO ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM – Penubuhan parti politik anak muda dicadangkan oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilihat sebagai satu idea bernas dan radikal, namun hala tuju masa depan parti itu masih tidak jelas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berkata, pelbagai persoalan timbul terutamanya melibatkan sasaran keahlian dan hala tuju parti berkenaan semasa pilihan raya.

"Saya tertarik dengan cadangan ini kerana ia idea yang bernas dan radikal tetapi ramai yang akan beranggapan adakah parti baharu ini mampu bertahan seperti parti-parti lama yang ada di Malaysia serta hala tuju parti, ke mana mereka akan pergi selepas itu (pilihan raya) kerana ia tidak jelas.

“Malah parti ini juga menyasarkan satu kelompok sasaran sahaja, maka ia tidak mencerminkan keseluruhan demografi pengundi di seluruh Malaysia dan saya percaya sasaran mereka hanyalah di kawasan bandar, golongan profesional, korporat dan sebagainya.

“Namun saya percaya golongan sasaran ini akan lebih memilih soal kestabilan kerana sebahagian mereka sudah dibebani dengan tanggungjawab besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika program Wacana Siri ke-189 bertajuk ‘Orang muda: Kenapa perlu parti baharu yang disiarkan secara langsung di di Studio F, Kumpulan Karangkraf di sini semalam.

Bagaimanapun katanya, berbeza dengan Parti Keadilan rakyat (PKR) yang sentiasa memberi peluang dan ruang kepada kepimpinan anak muda berkebolehan serta berpotensi untuk berada dalam barisan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti.

Katanya, ini jelas membuktikan PKR tidak pernah memandang rendah keupayaan sayap Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan wanita.

Artikel Berkaitan:

“Kepimpinan Pusat berbesar hati dan berfikiran terbuka dengan menerima orang muda yang mempunyai potensi dan kebolehan bagi membawa agenda reformasi ini.

“PKR tidak menjadi parti yang kolot dan tidak maju dengan bersikap sedemikian walaupun kepimpinan parti ini masih dilihat sosok yang sama. Kita tak pernah letakkan syarat umur untuk pimpinan muda turut bertanding dalam pemilihan MPP,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Malaysia perlu iktiraf pemimpin muda: Syed Saddiq

Syed Saddiq tubuh parti baharu

Dalam pada itu, beliau menolak dakwaan mengatakan anak muda PKR hanya wujud untuk menyokong individu tertentu.

Tegasnya, sebaliknya parti itu dibina berlatar belakangkan kepelbagaian agama dan kaum terdiri daripada 40 peratus keanggotaannya adalah anak muda.

"Pembinaan PKR ini sendiri untuk agenda reformasi institusi dan pembaharuan pengislahan dalam negara yang mana idea-idea anak muda diperlukan ke arah ini.

“Malah setiap parti di Malaysia mempunyai sayap pemuda dan wanita masing-masing kerana kita tahu kepentingan serta peranan anak muda untuk membawa agenda perjuangan masing-masing,” katanya.

Katanya, PKR sentiasa meraikan anak muda yang inginkan pembaharuan dengan menyediakan platform yang luas untuk golongan terbabit.

“Kita banyak mengetengahkan calon muda dalam pilihan raya, begitu juga DAP. Sebagai contoh ADUN Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze, YB Nurul Izzah serta YB Menteri Besar Selangor sendiri, Amirudin Shari.

“Soal sama ada pemimpin lama perlu bersara kerana ada pimpinan muda tidak timbul, malah tidak perlu dibincangkan kerana rakyat hanya mahu sama ada pemimpin dipilih mampu bekerja untuk mereka atau sebaliknya,” katanya.



Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!