Geng Jahan aktif samun, pecah rumah ditahan

Polis giat buru empat lagi etnik Rohingya untuk membantu siasatan.
Polis giat buru empat lagi etnik Rohingya untuk membantu siasatan.
A
A
A

KLANG - Kegiatan samun bersenjata dan pecah rumah yang dipercayai dilakukan Geng Jahan didalangi etnik Rohingya lumpuh susulan tertangkapnya enam suspek dalam serbuan berasingan sejak Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, kegiatan geng terbabit terbongkar hasil penahanan dua suspek di sebuah hotel bajet di sekitar bandar Klang pada jam 12.15 malam Jumaat lalu.

Menurutnya, susulan itu empat lagi suspek ditahan di sekitar Klang dan Kuala Langat.

"Kesemua enam suspek termasuk tiga wanita berusia 19 hingga 50 tahun itu kini direman 14 hari untuk siasatan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

"Siasatan awal mendapati geng berkenaan terlibat dalam 45 kes samun dan pecah rumah di daerah Klang, Kuala Selangor dan Kuala Langat sejak Februari lalu dengan beroperasi pada waktu malam hingga awal pagi," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara di sini hari ini.

Nurulhuda (dua dari kanan) menunjukkan antara barang yang dirampas dalam serbuan berasingan sejak Jumaat lalu.
Nurulhuda (dua dari kanan) menunjukkan antara barang yang dirampas dalam serbuan berasingan sejak Jumaat lalu.

Beliau berkata, semakan juga mendapati suspek memiliki kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

Katanya, selain itu, pihaknya turut menyerbu sebuah kedai pajak gadai yang dipercayai membeli barang hasil jenayah suspek di Telok Panglima Garang, Kuala Langat pada Sabtu dan menahan empat lelaki tempatan dipercayai pekerja premis tersebut bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

"Dalam operasi itu, polis turut merampas pelbagai barang kemas, jam tangan, telefon bimbit dan pelbagai mata wang asing yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM150,000," katanya.

Katanya, pihak polis kini sedang giat memburu empat lagi etnik Rohingnya termasuk dalang utama geng tersebut.

"Ketua kumpulan itu adalah wanita dikenali sebagai Norjahan, 30-an selain Hussin, 35, Rafiq, 30-an dan Md Alam, 25," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!