Korek tanah jumpa senjata api
PASIR MAS - Seorang pemandu jengkaut terkejut apabila menemui dua laras senjata api bersama 456 biji peluru di tapak projek tebatan banjir Kampung Topeng Repek, di sini petang semalam.
Senjata api jenis Rifle yang sudah berkarat itu ditemukan bersama peluru pada jam 2.40 petang.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sharif berkata, senjata api dan peluru itu ditemukan oleh pemandu berusia 23 tahun itu ketika sedang melakukan kerja-kerja mengorek dan menambun tanah di kawasan berkenaan.
"Kami menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 2.45 petang.
"Sepasukan anggota Jabatan Sisatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas mendapati senjata api bersama peluru berada di dalam karung guni yang tertimbus," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, siasatan awal mendapati senjata tersebut dipercayai dari jenis Rifle dan kini sedang dianalisis untuk tindakan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!