Bukti PH semakin ditolak rakyat
SHAH ALAM - Kemenangan calon BN, Ramli Mohd Nor pada PRK Cameron Highlands malam tadi membuktikan bahawa kerajaan PH kini semakin ditolak oleh rakyat.
Ahli Majlis Syura Ulamak Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, penolakan itu juga membuktikan bahawa rakyat mulai menyesal dan sedar dengan penipuan yang dilakukan kerajaan baharu itu.
“Kekalahan DAP juga merupakan satu amaran besar kepada PH agar jangan mempermainkan Islam dan Melayu serta keperluan rakyat marhaen.
“Rakyat sudah mula sedar dan menyesal dengan PH yang mungkir janji dan selalu menyalahkan pihak lain atas kegagalan menunaikan manifesto sehingga banyak masalah rakyat tidak diselesaikan.
“Ekonomi negara semakin teruk dapat dilihat menerusi kejatuhan nilai ringgit; pelaburan yang tidak rancak; pembatalan dan penangguhan projek-projek pembangunan yang penting untuk rakyat serta kadar penggangguran yang bertambah besar,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut kejayaan BN mengekalkan kemenangan di kerusi Cameron Highlands itu, Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus menjelaskan, selain ditolak rakyat, kemenangan itu juga didorong oleh kerjasama kuat antara part-parti pembangkang.
Jelasnya, sekiranya momentum sama ditunjukkan dalam siri PRK seterusnya, Pas yakin BN mampu mengalahkan PH kerana kerajaan baharu itu masih gagal menunaikan janji-janji PRU14 disamping memiliki pemimpin-pemimpin yang bersikap angkuh.
“Pas yakin BN mempunyai peluang cerah untuk mengalahkan PH dalam edisi PRK akan datang termasuk Semenyih yang dijadualkan 2 Mac depan dan berikutnya dan PRU15 akan datang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!