Beri peluang anak muda sudah lama diamalkan UMNO: Shahrir
SHAH ALAM - Isu pembabitan anak muda dalam politik negara bukan perkara yang perlu dihairankan kerana amalan memberi peluang kepada anak muda juga sudah lama diamalkan oleh parti UMNO.
Bekas Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, malah apa yang dilakukan oleh UMNO sejak dahulu adalah mencari dan mempercayai anak-anak muda bangsa yang mempunyai kewarasan dan kematangan lebih dari biasa bagi generasinya.
Menurutnya, anak muda dilatih dan mereka dibimbing dalam segala sudut pentadbiran dan urus tadbir.
"Latihan dan bimbingan apabila ditambah kepada idealisme, tenaga dan ilmu yang ada pada seseorang anak muda itu, Insya-ALLAH akan menjadikan anak muda waras dan matang.
"Jadi, tidaklah anak muda itu memalukan generasinya sendiri dan tidaklah perlu dia hanya berpaut kepada sifat mudanya itu," katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya hari ini.
Shahrir berkata, beliau sendiri dilantik sebagai seorang setiausaha politik pada usia yang muda pada tahun 70-an dan ada yang mempersoalkan adakah peluang yang sama diberi kepada anak muda yang lain selepas itu?
Menurutnya, beliau menyertai politik pada zaman Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan ketika itu sememangnya ada usaha untuk melibatkan seberapa ramai anak muda dalam pemerintahan negara.
"Ia bukan sahaja oleh Allahyarham Tun Abdul Razak tetapi Allahyarham Datuk Harun Idris juga sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia telah menyediakan kuota untuk dilantik sebagai ahli Exco Pemuda UMNO Malaysia dari kalangan mereka di bawah usia 30 tahun.
"Seterusnya kemunculan awal anak-anak muda ini telah membuka jalan untuk mereka berada di persada politik. Ada yang sudah tiada dan ada juga yang masih berada dalam politik negara umpamanya seperti Datuk Seri Nazri Aziz telah dilantik ahli Exco Pemuda UMNO pada zaman itu. Dia masih memegang kerusi Parlimen Padang Rengas," katanya.
Shahrir berkata, beliau sendiri kemudiannya meneruskan amalan memberi peluang kepada anak muda di mana telah melantik Datuk Mohamed Khaled Nordin yang berusia 25 tahun ketika itu sebagai setiausaha politiknya ketika menjadi menteri penuh pada tahun 1984.
"Apabila saya undur diri sebagai Ahli Parlimen Johor Bahru pada 1990, beliau menggantikan saya sebagai calon BN (Barisan Nasional) dan telah menang kerusi itu. Masa itu, beliau berusia 32 tahun," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!