LDP pilih pengganti Abe 14 September
TOKYO - Parti Liberal Demokrat (LDP) pada Rabu memutuskan untuk mengadakan pilihan raya presiden pada 14 September bagi memilih pengganti Perdana Menteri, Shinzo Abe, lapor media tempatan.
Persaingan untuk kedudukan tertinggi parti secara rasmi akan bermula pada 8 September. Perdana Menteri yang baharu dilantik akan menyambung baki penggal Abe sebagai Presiden LDP itu hingga September 2021, lapor agensi berita Xinhua.
Pemenang pilihan raya akan dilantik sebagai Perdana Menteri baharu negara itu pada sesi khas parlimen, yang mungkin akan diadakan pada 16 September, menurut laporan media tempatan.
Yoshihide Suga, 71, yang telah menjadi Ketua Setiausaha Kabinet selama hampir lapan tahun dan dianggap sebagai calon pengganti, dijadualkan secara rasmi menyatakan pencalonannya dalam sidang media awal malam Rabu.
Dua pesaing lain dalam pilihan raya itu adalah bekas Menteri Luar Fumio Kishida dan bekas Menteri Pertahanan Shigeru Ishiba, yang mengumumkan pencalonan mereka pada Selasa. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: PM Jepun umum letak jawatan
Peletakan jawatan Abe mengejutkan banyak pihak
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!