Hubungan Malaysia-Arab Saudi makin produktif
KUALA LUMPUR - Hubungan Malaysia dan Arab Saudi dilihat semakin produktif dan dinamik di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaafar berkata, ia terbukti apabila Arab Saudi telah menyumbang sejumlah peralatan perubatan bagi mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19) kepada Malaysia baru-baru ini.
Selain itu katanya, Malaysia sentiasa berusaha untuk mengukuhkan hubungan dengan negara-negara di seluruh dunia termasuklah Arab Saudi.
"Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, hubungan Malaysia dengan Arab Saudi mungkin dilihat agak menurun.
"Walau bagaimanapun, Arab Saudi terus kekal sebagai salah satu rakan dagang terbesar negara sejak di rantau Asia Barat dengan nilai dagangan direkodkan pada 2019 sebanyak RM22.31 bilion.
"Dalam hal ini, Kementerian Luar Negeri juga sentiasa mengambil pendekatan proaktif ke arah hubungan yang lebih mantap antara kedua-dua negara," katanya di Dewan Negara di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Senator Siti Fatimah Yahaya (BN) berhubung kedudukan hubungan diplomatik Malaysia dengan Arab Saudi yang dilihat telah menurun di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!