Wujudkan akta khusus berkaitan Jalur Gemilang
KUALA LUMPUR - Kerajaan disyorkan agar menggubal satu akta khusus berkaitan Jalur Gemilang bagi memastikan tindakan mempersenda bendera negara tidak berulang.
Senator Datuk Lim Pay Hen (BN) berkata, dengan adanya akta yang khusus itu membolehkan mereka yang melakukan kesalahan tersebut dapat dikenakan tindakan setimpal.
"Saya ingin mencadangkan agar kerajaan Perikatan Nasional (PN) menggubal satu akta khusus berkaitan Jalur Gemilang seperti di negara luar seperti Amerika Syarikat, India dan Singapura.
"Negara-negara yang disebut tadi mempunyai akta khas bagi kesalahan mempersendakan bendera kebangsaan mereka.
"Jadi, saya kira dengan pelbagai isu dan provokasi bendera terbalik ini dan sebagainya, ini adalah waktu terbaik dan sesuai dan tepat melaksanakan undang-undang ini agar setiap rakyat dapat memberikan penghormatan sewajarnya terhadap Jalur Gemilang," katanya ketika membahaskan Titah Diraja di Dewan Negara di sini hari ini.
Sementara itu, dalam perkembangan sama, Pay Hen turut mencadangkan Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia melipatgandakan kempen memperkasakan Rukun Negara.
Katanya, langkah itu perlu bagi mengatasi provokasi perkauman yang boleh mencetuskan ketegangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!