Kutipan zakat MAIK catat lebih RM95 juta

Tengku Muhammad Rizam (dua dari kiri) menunjukkan buku Laporan Prestasi Kutipan dan Agihan Zakat MAIK Januari hingga Jun 2020.
Tengku Muhammad Rizam (dua dari kiri) menunjukkan buku Laporan Prestasi Kutipan dan Agihan Zakat MAIK Januari hingga Jun 2020.
A
A
A

KOTA BHARU - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) mencatatkan kutipan zakat sebanyak RM95,033,512 juta bermula Januari sehingga Jun tahun ini.

Yang Dipertua MAIK, Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Tengku Muhammad Rizam Tengku Aziz berkata, jumlah tersebut menyaksikan peningkatan sebanyak 6.5 peratus berbanding kutipan tahun lalu sebanyak lebih RM89,232,681 juta.

"Segmen terbesar kutipan zakat ini ialah daripada zakat pendapatan iaitu RM55,812,08 diikuti zakat perniagaan berjumlah RM17,688, 790; zakat fitrah RM8,237,562; zakat wang simpanan RM4,894,538 dan lain-lain zakat iaitu zakat pertanian dan padi, zakat ternakan, zakat saham, zakat emas/perak, dan zakat qadha berjumlah RM842,193.

"Peningkatan yang signifikan dalam zakat fitrah tahun ini berbanding tahun sebelumnya disebabkan oleh MAIK memperkenalkan tiga kadar harga iaitu RM7, RM14, dan RM21 mengikut harga beras yang ditetapkan dan kepercayaan orang ramai membayar zakat menerusi MAIK.

"Walaupun dalam tempoh ini kita berhadapan dengan pandemik Covid-19, namun dengan capaian platform atas talian yang disediakan untuk pembayar zakat MAIK, maka kutipan bagi tempoh sehingga Jun 2020 agak memberansangkan dan memuaskan," katanya hari ini.

Tengku Muhammad Rizam
Tengku Muhammad Rizam

Terdahulu, beliau menyampaikan Laporan Prestasi Kutipan dan Agihan Zakat MAIK untuk Januari hingga Jun 2020 di Hotel Perdana di sini.

Turut hadir, Timbalan Yang Dipertua MAIK, Zulkifli Abdul Rahman.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, agihan Asnaf Fakir Miskin telah mencatat pecahan terbesar dalam program agihan zakat di mana sejumlah RM58,824,662 juta telah diagihkan sepanjang tempoh enam bulan pertama 2020 ini dengan peratusan peningkatan dari tahun lalu pada kadar 17 peratus.

Sementara itu, dalam sidang akhbar itu juga Tengku Muhammad Rizam menyeru badan korporat dan rakyat Kelantan yang berada di luar negeri membayar zakat melalui MAIK kerana banyak golongan yang boleh menerima manfaat daripada zakat tersebut.

"MAIK juga mendapati lebih 40,000 permohonan bantuan secara atas talian ketika negara berdepan pandemik Covid-19.

"Kami berharap lebih ramai dapat membayar zakat supaya kita dapat memenuhi keperluan mereka yang layak," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!