Dua warga asing ditahan cuba rasuah polis
PETALING JAYA - Dua lelaki warga asing ditahan kerana disyaki cuba memberi rasuah kepada anggota kereta peronda polis (MPV) ketika menjalankan rondaan cegah jenayah 'Aberdeen' di Kota Damansara pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya mendapati suspek berusia 29 dan 46 tahun yang menaiki sebuah kereta Proton Wira dalam keadaan mencurigakan pada jam 10.50 pagi.
"Kereta suspek kemudian memecut laju setelah menyedari kehadiran anggota MPV, namun anggota berjaya memintas kenderaan itu di hujung Lorong Teknologi C di sini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nik Ezanee berkata, hasil pemeriksaan, kedua-dua suspek gagal mengemukakan lesen memandu dan dokumen perjalanan yang sah.
"Ketika ditahan salah seorang suspek pula cuba menawarkan wang tunai RM500 kepada tiga anggota polis dan seorang anggota Angkatan Tentera Malaysia yang bertugas," katanya.
Menurutnya, kedua-dua suspek ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!