Tragedi kepala air: Kanak-kanak hilang ditemui lemas
BATANG KALI - [DIKEMASKINI] Mayat seorang kanak-kanak berusia enam tahun ditemui lemas selepas dihanyutkan kepala air di Sungai Kedondong di sini petang tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menemui mayat mangsa dikenali sebagai Abdul Wafi Wuuzir tersangkut di celah batu pada jam 5.44 petang selepas menggerakkan operasi mencari dan menyelamat sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 3.09 petang.
"Mayat mangsa telah diambil keluar dari celah batu dan pasukan bomba berdepan keadaan agak sukar kerana air deras.
"Kaedah river crossing menggunakan strecher dibuat untuk membawa mayat," katanya kepada Sinar Harian.
Mengulas lanjut kejadian itu, beliau berkata, anggota penyelamat dimaklumkan bahawa terdapat empat orang mangsa yang sedang mandi di sungai berkenaan telah dihanyutkan kepala air, namun dua mangsa lain merupakan lelaki dewasa berjaya diselamatkan.
Katanya, kedua-duanya selamat selepas terperangkap di atas batu ekoran arus sungai yang deras.
"Seorang lagi mangsa perempuan yang terperangkap di dalam air juga sudah diselamatkan oleh anggota JBPM dalam operasi tersebut," katanya.
Menurutnya, kejadian itu melibatkan tiga kumpulan yang datang untuk bermandi-manda dan berkelah di kawasan berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Budak lelaki hilang dalam tragedi kepala air
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arshad Kamaruddin berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira 350 meter dari lokasi kejadian.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu bagi menjalani proses bedah siasat.
"Punca kematian masih dalam siasatan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!