‘Saya bersuara demi parti’

A
A
A
Kemunculan bekas Menteri Besar Johor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian berkempen untuk calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Perak baru-baru ini mencuri tumpuan ramai.

Tindakannya itu disifatkan melawan arus memandangkan beliau daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang sewajarnya memberi sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) daripada UMNO pada PRK tersebut.Bukan sekadar di PRK DUN Slim sahaja, Osman sebelum ini sering menjadi perhatian kerana kelantangannya bersuara tentang Bersatu dan menegur tindakan beberapa pemimpin politik agar menghormati kerjasama yang dijalin Bersatu dengan beberapa parti lain dalam Perikatan Nasional (PN).

Bertambah hangat, apabila Osman yang juga Ketua Bersatu Bahagian Ayer Hitam disebut-sebut antara ADUN yang akan beralih arah berikutan pertemuannya dengan pemimpin Pakatan Harapan (PH) iaitu daripada Parti Amanah Negara (Amanah) minggu lepas.

Sekiranya mana-mana ADUN melompat, ia berkemungkinan menyebabkan kerajaan negeri Johor bertukar memandangkan PH dan PN mempunyai bilangan kerusi yang sama.

Kerajaan negeri yang ditadbir PN sejak Mac lalu memiliki 29 kerusi manakala PH sebanyak 27 kerusi.

Osman merupakan Menteri Besar Johor selepas PH memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu namun beliau digantikan oleh ADUN Bukit Kepong, Datuk Dr Sahruddin Jamal pada April 2019.

Ikuti wawancara wartawan Sinar Harian, Nor Azura bersama Osman di Johor Bahru baru baru ini.

SINAR HARIAN: Video yang tular di PRK DUN Slim baru-baru ini secara terang menunjukkan Datuk memberi sokongan kepada calon Bebas yang diketahui daripada Pejuang. Boleh terangkan mengapakah Datuk bertindak sedemikian?

OSMAN: Ya, betul dalam video itu adalah saya. Salahkah tindakan saya berkempen untuk calon Bebas, sedangkan Bersatu belum diterima secara rasmi ke dalam Muafakat Nasional (MN)? Mana tahu Amir Khusyairi terbuka menyertai Bersatu pula selepas ini.
Artikel Berkaitan:


Bersatu kini dibuli UMNO, termasuk tidak diberi ruang dalam kedudukan jawatan dan digasak dengan pelbagai tohmahan.Daripada pemimpin pusat sehingga negeri, UMNO tuduh parti Bersatu tidak wajar diberikan sebarang kerusi dan hanya tumpang pengaruh orang.

Mengapakah kita diam? Tiada orang kita pertahankan parti, mengapa tiada pula tindakan diambil kepada UMNO?

Oleh sebab itu, saya buat macam ini supaya ada kesedaran di peringkat kepimpinan dan ahli parti. Ada orang kata saya meroyan kalah Pemilihan Majlis Tertinggi Bersatu baru-baru ini menyebabkan saya buat begitu.

Saya tidak berkempen pun, saya tidak hantar borang pun, saya tidak tahu siapa yang tandatangan borang itu. Saya sudah 42 tahun dalam politik, empat penggal di DUN Kempas. Saya sudah lalui pahit manis dalam politik.

Datuk dilihat seorang diri bersuara tentang Bersatu dan tindakan Datuk seakan-akan melawan arus. Malah selepas komen diberikan oleh Datuk pasti ada sahaja tidak berpuas hati. Bagaimanakah Datuk menerimanya?

OSMAN: Biarlah saya jadi orang yang tidak disukai kerana menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap Bersatu. Kenapa saya begitu dan begini, tujuannya supaya ada kesedaran terhadap kepimpinan dan ahli-ahli Bersatu tentang keadaan politik hari ini, khususnya Bersatu yang kini berada dalam PN di mana ada UMNO dan parti-parti lain dalam BN.

Tetapi kalau kita tengok pemimpin UMNO, walaupun kita ini rakan sekutu, dia asyik menggasak sahaja cakap Bersatu ini parti kecil, Bersatu hanya menempel, Bersatu tidak wajar diberikan kerusi sebab tiada pengaruh dan cawangan.

Sedangkan kita ini dalam satu angkatan. Kalau adik-beradik dia mesti pertahankan adik-beradiknya. Tetapi perkara sebaliknya pula yang berlaku.

Kenapa orang Bersatu diam, sebaliknya kita pula hendak pertahankan UMNO. Setakat hari ini saya tidak pernah dengar pemimpin Bersatu menekan balik UMNO supaya jangan cakap bukan-bukan pasal Bersatu.

Bersatu inilah yang bagi nyawa kepada dia (UMNO).

Pemimpin Bersatu ini, bila saya buat itu dan ini, sibuk bercakap, tetapi bila UMNO buat senyap. Apakah mereka ini sudah dibeli oleh UMNO? Atau sudah dapat dedak?

Berhubung isu ada pihak yang mahu Datuk dikenakan tindakan disiplin kerana berkempen untuk calon Bebas pada PRK DUN Slim disebabkan video yang tular itu, apakah komen Datuk?

OSMAN: Rentetan daripada aduan yang dikemukakan Ketua Bersatu Bahagian Pulai, Ya'cob Atan yang mahukan saya dikenakan tindakan parti, itu terpulanglah kepada dia. Ini demokrasi.

Pada saya ini asam garam politik. Sebagai ahli parti, saya menerima apa sahaja yang parti kenakan. Macam dulu, parti hendak lantik saya jadi Menteri Besar Johor, saya terima dan jalankan tugas sebaik mungkin.

Bukan bermakna tidak pegang apa-apa jawatan, hidup saya akan berakhir.

Kita hendak hukum seseorang itu kena tengok jasanya. Jangan kerana sudah berkuasa dengan sewenang-wenangnya orang yang berjasa itu dilupakan.

Bagaimanakah pula kedudukan Datuk pada sidang DUN Johor yang dijangka bermula pada 10 September depan sekiranya Datuk dikenakan disiplin dan dipecat daripada parti?

OSMAN: Saya masih lagi duduk di sebelah Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga ADUN Gambir sebab itu masih lagi kerusi Bersatu.

Tetapi kalau saya dipecat sebelum 10 September ini, maka saya kena duduk di kerusi Bebas, atau saya nak isytihar masuk parti baharu, wallahuaklam.

Kalau dia pecat saya, saya sokong Bebas, maknanya dia tidak suka saya.

Benarkah Datuk ada bertemu dengan pemimpin PH?

OSMAN: Ya betul, pertemuan pada minggu lepas dengan seorang pemimpin Amanah. Saya ada bincang perkara-perkara biasa tentang politik antaranya sidang DUN Johor yang bermula pada 10 September ini.

Saya pun sudah lama tak jumpa kawan, dulu kami sama-sama dalam PH Johor. Maklumlah sebelum ini sebab koronavirus (Covid-19) susah hendak jumpa.

Bagaimanakah Datuk melihat pentadbiran kerajaan negeri Johor di bawah PN hari ini?

OSMAN: Semasa wabak Covid-19 sekarang ini, ekonomi memang merosot, tetapi kita tidak boleh gunakan alasan Covid-19 sebagai halangan untuk tingkatkan ekonomi. Perancangan ke hadapan perlu ada. Selain itu banyak lagi agenda pembangunan yang belum diselesaikan.

Namun, dalam situasi hari ini, saya tengok PN yang memerintah lebih mencari kekuasaan dalam UMNO bagi memperkasakan parti itu.

Ahli majlis perbandaran, sebagai contoh, alih-alih tak tahu ada tiba-tiba angkat sumpah.

Perkara ini saya sudah ketengahkan kepada Perdana Menteri supaya tubuhkan jawatankuasa nilai prestasi dan bincangkan jawatan dalam PN ini secara adil.

Sekurang-kurangnya kalau hendak diberhentikan, bincanglah dulu. Perkara seperti inilah yang timbulkan rasa tidak puas hati di peringkat bawah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!