Asyraf Wajdi gariskan 10 sebab kemenangan BN

Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Dr Asyraf Wajdi Dusuki
A
A
A

KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan kemenangan BH dalam PRK Cameron Highlands merupakan pencetus kebangkitan semula BN selepas tewas dalam PRU14 lalu.

Katanya, terdapat 10 faktor BN melalui calonnya, Ramli Mohd Nor menang dengan majoriti besar, 3,238 berbanding lawan daripada PH, M Manogaran.

10 faktor yang dikongsi Asyraf Wajdi di laman Facebooknya adalah;

1. Calon yang berwibawa dari kalangan Orang Asli kaum Semai dan anak tempatan memberikan kelebihan kepada Ramli.

2. Sokongan yang tidak berbelah dan kerja kuat pimpinan dan jentera Pas yang bersungguh-sungguh memujuk lebih 2,000 ahli tegar Pas terutamanya di Peti Undi Kampung Keledek (BN tidak pernah menang peti undi ini), Peti Undi Bukit Kota dan Sungai Koyan 3.

3. Kerjasama kukuh dan gerak kerja sepadu semua jentera BN termasuk sayap-sayap yang berkampung lebih dua minggu di semua kawasan peti-peti undi seluruh Parlimen. Sebagai contoh, Pemuda Umno ada yang berkhemah tepi sungai di perkampungan Orang Asli untuk pastikan program berterusan dapat dijalankan dengan lancar.

4. Buat pertama kali Wanita Umno dan Muslimah Pas bergandingan bersama bergerak naik turun rumah ke rumah pengundi terutamanya di kawasan Dun Jelai.

5. Kegigihan dan keikhlasan jentera Umno di semua peringkat yang datang dari seluruh Malaysia untuk membantu tanpa mengira penat dan tanpa mengharapkan sebarang upah mahupun duit minyak.

Artikel Berkaitan:

6. Sentiman Orang Asli kaum Semai yang masih kuat sayangkan BN dan merasa terhutang budi kepada pimpinan terdahulu. Ini dapat disaksikan dengan kehadiran beramai-ramai ketika Datuk Seri Najib Tun Razak turun berkempen di kawasan mereka.

7. Rakyat khususnya peneroka Felda amat merasai kesan kos sara hidup yang meningkat dengan kejatuhan harga komoditi sawit dan getah. Mereka tidak nampak kerajaan PH melakukan tindakan yang berkesan untuk menggerakkan pelan bagi tujuan menaikkan semula harga komoditi.

8. Rakyat masih merasai tertipu dengan segala janji-janji kosong kerajaan PH yang masih tidak mengotakan segala apa yang dijanjikan dalam manifesto PRU14 lalu.

9. Rakyat khususnya orang Melayu dan Bumiputera rata-rata mahu melihat kerjasama utuh antara Umno dan Pas sebagai isyarat ke arah penyatuan ummah dan kestabilan negara keseluruhannya.

10. Faktor populariti Najib juga banyak menyumbang ke arah kemenangan besar kali ini terutamanya di kalangan peneroka Felda dan Orang Asli yang masih merasai jasa dan sumbangan beliau kepada mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: BN menang, Ramli cipta sejarah Orang Asli jadi MP

Dalam hantaran berlainan, Asyraf Wajdi berkata, biarpun menang di PRK Cameron Highlands, BN perlu melakukan penambah baik untuk berdepan dengan laluan berliku sebagai pembangkang berwibawa demi rakyat dan negara.

“Angkat wajahmu dengan bangga. Ini hanyalah salah satu dari tanda kebangkitan kembali kita. Kita perkukuhkan gerak kerja kita.

“Model untuk berjaya sudah ada. Kita cuba perbaiki dan terus perbaiki agar kita lebih bersedia untuk menjadi pembangkang berwibawa demi rakyat dan negara,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!