Semangat merdeka bekas askar
SEORANG bekas askar tidak kisah membelanjakan sejumlah wang semata-mata menghiasi rumahnya dengan Jalur Gemilang pelbagai saiz bagi menzahirkan rasa cinta kepada negara sempena hari kemerdekaan Malaysia yang ke-63.
Md Rahim Maskop, 51, berkata, barangan lama di rumahnya seperti mesin jahit, bubu dan basikal antik juga dihias cantik dengan Jalur Gemilang.
“Walaupun tidak pernah bersama mana-mana pejuang untuk memerdekakan negara suatu masa dahulu tetapi saya rasa bertanggungjawab untuk menghargai dan menghayati erti kemerdekaan yang dikecapi selama ini.
“Tahun ini saya menggunakan sebanyak 800 Jalur Gemilang berbanding lebih 1,000 Jalur Gemilang sebelum ini,” katanya kepada Sinar Harian di kediamannya dekat Taman Pisang Mas Jaya, Gadek di sini baru-baru ini.
Md Rahim berkata, isterinya, Zurinah Kepol, 53, turut berkongsi minat yang sama dengannya sejak 20 tahun lalu.
Menurutnya, dia dan isteri bersama-sama menghias rumah mereka dengan Jalur Gemilang setiap kali menjelang sambutan hari kemerdekaan negara.
“Kami memulakan kerja-kerja menghias kediaman sempena merdeka sejak akhir Julai lalu yang mengambil masa kira-kira seminggu untuk menggantung semua Jalur Gemilang. Usaha kami turut dibantu oleh jiran-ji-ran,” katanya.
Md Rahim yang merupakan ahli Kelab Basikal Tua berkata, satu lagi aktiviti yang dilakukannya bagi menzahirkan semangat hari merdeka adalah dengan mengayuh basikal tua yang dihiasi Jalur Gemilang mengelilingi kawasan perumahan berkenaan.
“Sekurang-kurangnya saya dapat membakar semangat patriotisme dalam kalangan anak muda.
“Sekiranya tidak berbuat demikian, saya rasa ralat kerana Jalur Gemilang kebanggaan kita, malah ia adalah lambang penyatuan rakyat Malaysia yang berbilang kaum,” kata Md Rahim.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!