Jangan sampai jejas prestasi
KEMELUT yang sedang dihadapi pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh bersama Pahang diharapkan tidak akan memberikan kesan besar kepada prestasinya pada masa depan.
Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Zulakbal Abd Karim berkata, kes Sumareh boleh disifatkannya sebagai sesuatu yang rumit dan memerlukan perbincangan baik dalam kalangan semua pihak terlibat supaya tidak mengganggu masa depannya dalam industri bola sepak di negara ini.
“Kita sudah pun naturalisasikannya supaya boleh bermain bersama negara dan kita nampak impak yang mampu diberikannya kepada skuad Harimau Malaya.
“Jadi, sudah tentu kita tidak mahu isu sebegini mengganggu prestasinya apatah lagi dia antara pemain yang diperlukan dalam pasukan kebangsaan dan masih akan menjadi watak penting kepada skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu
“Dalam sukan bola sepak ini juga ada banyak contoh yang menyaksikan pemain itu hebat pada satu ketika tetapi prestasinya merudum apabila dipalit dengan pelbagai isu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Terdahulu, Sumareh membuat kejutan apabila tidak menghadiri sesi latihan dan dilaporkan mengguna pakai klausa 8.7 seperti yang terkandung dalam kontraknya untuk keluar daripada skuad Tok Gajah.
Dalam klausa itu, mana-mana pemain yang tidak dibayar gaji selama sebulan atau lebih boleh memohon untuk menamatkan kontrak di mana pasukan dengan jelas melakukan kesalahan pecah kontrak.
Mengulas lanjut, kata Zulakbal, beliau berharap isu yang melanda Sumareh itu dapat diselesaikan dengan baik demi kebaikan semua pihak dalam arena bola sepak negara.
“Dalam perkara ini ada dua perkara yang kita boleh lihat. Pertama dia sebagai manusia biasa sudah tentu akan rasa serabut dengan isu ini dan dalam masa sama Pahang mahu mengambil tindakan kepadanya yang turut akan mengganggu prestasinya.
“Keduanya, sebagai pemain profesional, kalau dia mampu memberikan tumpuan pada prestasi dan mengetepikan masalah yang berlaku, tidak ada masalah untuk dia mengekalkan prestasi seperti sedia ada.
“Dalam hal ini Sumareh perlu bijak mengatasi kemelut tersebut,” kata beliau.
Dalam pada itu, Zulakbal juga percaya tidak adil untuk memberikan penilaian dalam situasi Sumareh ini tanpa mengetahui dengan jelas apa yang berlaku kepada pemain kelahiran Gambia itu.
“Kalau ikut profesionalisme, memang dia silap di situ. Kalau sudah tak nak dengan Pahang sekalipun cuba berlaku profesional. Namun sekali lagi kita tidak tahu apa yang terjadi sehingga dia ambil tindakan macam ini.
“Apa pun saya harap perbincangan boleh dilakukan oleh pihak terlibat untuk mencari jalan penyelesaian terbaik,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!