Tiga cedera, kenderaan curi kemalangan ketika lari dari polis

Tangkap layar video kejadian yang tular di Facebook.
Tangkap layar video kejadian yang tular di Facebook.
A
A
A

KUANTAN - Tindakan nekad pemandu sebuah kereta dipercayai dicuri lari dari pemeriksaan polis membawa padah apabila kenderaan yang turut dinaiki dua penumpang itu terbabit nahas melibatkan tiga kenderaan di Jalan Kuantan - Maran berhampiran Kampung Paya Bungor di sini petang semalam.

Dalam kemalangan kira-kira jam 6 petang itu, pemandu kereta berusia 32 tahun bersama dua penumpang termasuk seorang wanita masing-masing berusia 23 dan 21 tahun, cedera

Nahas turut melibatkan kenderaan polis jenis Mitsubishi ASX 2.0 dan sebuah lori, namun dua anggota polis terlibat dan pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Superintendan Kamarulzaman Jusoh@Mohamad Daud berkata, sebelum kejadian, dua anggota peronda lebuh raya (EMPV) Bukit Aman sedang melakukan pemeriksaan berhampiran Plaza Tol Seri Jaya, Maran.

Menurutnya, menyedari kehadiran polis, pemandu kereta jenis Proton Satria yang turut dinaiki dua penumpang itu mengelak pemeriksaan apabila memecut kenderaan memasuki Lebuhraya Pantai Timur 1 menghala Ke Kuala Lumpur.

"Anggota polis terlibat mengejar kenderaan tersebut sebelum suspek berpatah balik dengan memandu secara melawan arus dan masuk kembali ke tol Sri Jaya menuju ke Jalan Kuantan - Maran.

"Adegan itu berlaku sehingga memasuki daerah Kuantan hingga simpang Lepar Hilir sebelum kenderaan suspek hilang kawalan dan terbabas melanggar sebuah lori yang datang dari arah bertentangan," katanya.

Kamarulzaman berkata, akibat kejadian, kenderaan suspek berpusing beberapa kali dan turut terlanggar kenderaan polis.

Artikel Berkaitan:

"Pemandu dan dua penumpang kenderaan tersebut yang cedera dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk menerima rawatan.

"Hasil pemeriksaan mendapati kereta itu adalah kenderaan curi yang dilaporkan hilang di Jinjang, Kuala Lumpur," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

Sebelum ini, video kejadian berdurasi 29 saat tular di laman sosial Facebook selepas dimuat naik dan dikongsi netizen.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!