Kutipan, bilangan pembayar zakat harta di Pahang meningkat

Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menerima serahan zakat perniagaan daripada TH yang diserahkan oleh Pengarah TH Pahang, Musalmah Mustafa pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Badan Korporat di Istana Abdulaziz, Kuantan semalam.
Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menerima serahan zakat perniagaan daripada TH yang diserahkan oleh Pengarah TH Pahang, Musalmah Mustafa pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Badan Korporat di Istana Abdulaziz, Kuantan semalam.
A
A
A

KUANTAN - Prestasi kutipan zakat di negeri Pahang berada pada landasan terbaik apabila merekodkan peningkatan jumlah kutipan dan bilangan pembayar zakat harta dalam tempoh Januari sehingga 31 Ogos tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Seramai 81,104 pembayar zakat harta menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam tempoh itu tahun ini dengan jumlah kutipan RM81.4 juta.

Ia menunjukkan peningkatan jumlah kutipan 1.5 peratus berbanding tahun lalu yang berjumlah RM79.9 juta melibatkan 80,090 pembayar zakat harta.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah bertitah, walaupun negara berdepan ketidaktentuan ekonomi ekoran penularan pandemik koronavirus (Covid-19), prestasi kutipan zakat di negeri ini terus berada pada landasan terbaik berdasarkan kepada peningkatan jumlah kutipan dan pembayar zakat yang direkodkan.

"Sektor potongan gaji menjadi penyumbang terbesar kutipan zakat di negeri ini dengan jumlah kutipan RM41.1 juta sehingga 31 Ogos lalu.

"Ia diikuti kutipan zakat korporat dan sektor perniagaan dengan jumlah kutipan RM20 juta," titah baginda melalui satu kenyataan di sini.

Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah (tengah) bersama wakil badan korporat selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Badan Korporat di Istana Abdulaziz, Kuantan semalam.
Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah (tengah) bersama wakil badan korporat selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Badan Korporat di Istana Abdulaziz, Kuantan semalam.

Titah baginda lagi, Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang mengenal pasti lima bidang utama yang perlu dilaksanakan bagi mencapai sasaran kutipan zakat tahun ini.

Artikel Berkaitan:

"Ia melibatkan pelaksanaan Z-Barakah (zakat pendapatan), Z-Step (zakat simpanan, ternakan, emas dan pertanian), Z-Tijari (zakat perniagaan), Z-ProDak (promosi dan dakwah) dan Z-Smart (aplikasi komunikasi dan teknologi maklumat).

"Selain itu, PKZ komited untuk terus melaksanakan program Wajib Taksir Zakat (WTZ) melalui penghantaran borang taksir zakat kepada 30,361 kakitangan berjawatan tetap yang berkhidmat di negeri ini," titah baginda.

Baginda turut menzahirkan keyakinan sasaran kutipan zakat RM150 juta dengan 95,000 pembayar tahun ini mampu dicapai dengan sokongan badan-badan korporat dan orang ramai.

“Peningkatan amaun kutipan zakat ini akan dapat dinikmati para asnaf melalui peningkatan agihan yang dilaksanakan oleh pihak Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP)," titah baginda.

Terdahulu, baginda selaku Yang Dipertua MUIP berkenan menyempurnakan Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Badan Korporat di Istana Abdulaziz di sini, semalam.

Pada majlis itu lapan badan korporat termasuk Lembaga Tabung Haji (TH) menyerahkan zakat perniagaan masing-masing dengan jumlah kutipan keseluruhan lebih RM12.8 juta.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!