Pelumba cilik kembali berentap Ahad ini

Aksi pelumba-pelumba cilik berkenaan pada Pusingan 1, 16 ogos lalu. - Foto SIC
Aksi pelumba-pelumba cilik berkenaan pada Pusingan 1, 16 ogos lalu. - Foto SIC
A
A
A

SERAMAI 21 pelumba cilik berusia lapan hingga 13 tahun akan kembali berentap pada Pusingan 2 Kejohanan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Mini Grand Prix (GP) di Litar Kart Antarabangsa Sepang (SKIC), Ahad ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC Azhan Shafriman Hanif berkata, pusingan kali ini akan menyaksikan anak-anak muda berkenaan meneruskan perlumbaan setelah mengharungi Pusingan 1 di litar sama, 16 Ogos lalu.

Bagaimanapun, beliau mengakui agak teruja untuk menyaksikan aksi kesemua pelumba berkenaan pada perlumbaan kali ini.

“Saya bersemangat untuk melihat anak-anak muda ini terus berlumba dan meningkatkankemahiran mereka dengan mengendalikan jentera lumba mereka pada Pusingan 2 ini.

“Dalam masa sama, program ini diharap menjadi program akar umbi bagi pelumba-pelumba cilik ini membina keyakinan mereka terhadap jentera lumba berangka penuh.

“Apa yang ingin saya lihat adalah mereka perlu tekun, berdedikasi dan bekerja keras untuk meraih tahap yang seterusnya,” katanya menerusi satu kenyataan media, semalam.

Kejohanan SIC MiniGP Pusingan 1 yang berlangsung di litar sama 16 Ogos lalu menyaksikan Qabil Irfan Azlan,8 dari Terengganu muncul juara Perlumbaan 1 dengan catatan masa 15:39.347 dan 15:20.696 (Perlumbaan2) bagi kategori 110cc, manakala Muhammad Hakim Danish Ramli. 13 juga dari Terengganu muncul juara dengan catatan masa 14:44.544 bagi Perlumbaan 1 dan 14:16.463 (Perlumbaan 2) bagi kategori 160cc.

Berdasarkan maklum balas daripada pelumba-pelumba kejohanan berkenaan, kesemua jentera lumba telah diperbaiki dengan suspensinya diubah suai untuk berada dalam keadaan lebih sempurna dan lebih laju.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, kesemua pelumba cilik berkenaan masih dalam fasa penyesuaian, di mana pelumba-pelumba cilik masih dalam proses menyesuaikan diri dengan litar, pengendalian jentera lumba, keadaan cuaca, dan sebagainya.

Justeru, latihan yang telah diberikan oleh pelatih professional dan mekanik-mekanik terlatih menjadi pembakar semangat untuk mereka berlumba dengan lebih yakin, lebih aggresif, dan juga lebih kompetitif antara satu sama lain pada Pusingan 2 kali ini.

Sementara itu Pengurus Pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin berharap agar perlumbaan yang dijadualkan berlangsung Ahad ini berjalan lancar.

Malah, bekas pelumba MotoGP negara itu turut mengakui agak teruja untuk menyaksikan perlumbaan Pusingan 2 berkenaan.

“Saya sangat teruja dan tidak sabra untuk memulakan Pusingan 2. Saya harap pelumba-pelumba cilik ini dapat berlumba dengan lebih baik dan lebih laju Ahad ini; namun, aspek keselamatan amat dititikberatkan agar semuaya berjalan dengan lancar,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!