Penting PH buat post mortem kekalahan Cameron Highlands
SEREMBAN - Penting untuk PH membuat post-mortem bagi mengenal pasti kelemahan yang menyebabkan kekalahan PRK Parlimen Cameron Highlands.
Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, meskipun kerusi berkenaan telah diketahui merupakan kubu kuat BN, namun penilaian secara menyeluruh perlu dilakukan supaya PH lebih berhati-hati pada PRK Dun Semenyih dan Rantau.
“Bagi saya kita perlu terima keputusan rakyat walaupun kita tahu yang Cameron Highland adalah kubu kuat Umno sekian lama dan PH tak pernah menang pun di sana.
“Tapi pada PRU14 dalam pertembungan tiga penjuru di kerusi itu, kita dapat kurangkan jumlah undi BN kepada enam peratus. Pada PRK ini, kita juga telah dapat tingkatkan jumlah undi kita, bermaksud dari 69 peratus yang keluar undi, kita masih ada 1,100 kelebihan berbanding BN,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agong Persatuan Ibu Bapa dan Guru(PIBG) Kali ke-40 Sekolah Kebangsaan Seri Kelana di sini, hari ini.
Bagaimanapun beliau yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, kekalahan itu tidak boleh dijadikan sebagai penanda aras yang rakyat sudah muak dengan PH.
Menurutnya, sesiapa sahaja boleh memberi pandangan, tetapi rakyat harus sedar yang bukan mudah untuk kerajaan PH melaksanakan segala janji dalam tempoh terdekat dalam keadaan kerosakan dilakukan kerajaan BN terdahulu.
“Memperbetulkan sistem yang rosak itu bukan boleh diselesaikan dalam tempoh sebulan, dua bulan atau setahun kerana ia melibatkan sikap, pemikiran dan tanggungjawab pada rakyat.
“Apa yang kerajaan PH cuba lakukan sekarang adalah memperbetulkan semuanya dan selepas itu rakyat bolehlah menilai,” katanya.
Pada PRK Parlimen Cameron Highland, BN yang menampilkan Ramli Mohd Nor menewaskan empat calon lain termasuk M Manogaran yang meraih 8,800 undi; Bebas, Sallehudin Ab Talib (314) dan Wong Seng Yee (276).
Ia merupakan kemenangan sulung BN dalam PRK selepas PRU14.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!