AMK tumpu kawasan calon anak muda dari PH bertanding
SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) akan memberi tumpuan kepada kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi oleh calon anak muda daripada Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September depan.
Setiausahanya, Ahmad Syukri Che Ab Razab berkata, AMK Malaysia yang dipimpin Akmal Nasrullah Mohd Nasir telah ditugaskan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk memberi tumpuan di DUN Sook (N37).
"Bermula 5 September ini, AMK akan mula menggerakkan kerja-kerja kempen dan penerangan di DUN berkenaan.
"Oleh itu, seluruh anggota AMK diminta untuk sama-sama turun ke Sabah khususnya DUN Sook bagi membantu jentera PRN," katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Syukri berkata, AMK berpendirian pilihan yang telah dibuat oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) perlu dihormati, justeru kepimpinan kerajaan negeri perlu dikembalikan kepada gabungan Warisan, UPKO dan PH.
Beliau berkata, apakah rakyat Sabah ingin menyerahkan kembali Sabah kepada Barisan Nasional (BN) yang ternyata tidak mampu memperjuangkan hak-hak rakyat Sabah biarpun telah diberi peluang begitu lama mentadbir Sabah.
Katanya, apakah rakyat Sabah mahu memilih kembali BN yang kepimpinannya terpalit dengan tuduhan salah laku malah sudah ada yang disabitkan bersalah.
"AMK percaya rakyat Sabah cukup matang dalam memilih kepimpinan yang benar-benar mahu melakukan perubahan untuk negeri itu.
"Ini juga masa untuk rakyat Sabah menghukum politikus yang terlalu rakus berpolitik meskipun negara sedang diancam wabak koronavirus (Covid-19)," katanya.
Tegasnya, kemenangan semula Warisan, UPKO dan PH bakal menjadi kayu ukur betapa rakyat Sabah menolak sikap berpolitik yang keterlaluan sehingga mengancam kestabilan negeri.
Selain itu, Ahmad Syukri berkata,AMK juga mengharapkan pihak-pihak berautoriti seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis dapat memastikan PRN Sabah nanti dapat berlangsung dalam keadaan adil dan bebas daripada sebarang unsur rasuah serta penipuan.
"Kita juga percaya SPR akan memastikan proses pengundian bakal mematuhi SOP (prosedur operasi standard) cegah wabak seperti yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!