RM33.4b dibelanjakan bagi projek pembangunan kerajaan setakat 16 Ogos

Mustapa (dua dari kanan) mendengar penjelasan daripada Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail (kiri) ketika melakukan lawatan kerja ke Tapak Projek Naik Taraf Kompleks MSN di Kuala Lumpur di sini hari ini. - Foto Bernama
Mustapa (dua dari kanan) mendengar penjelasan daripada Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail (kiri) ketika melakukan lawatan kerja ke Tapak Projek Naik Taraf Kompleks MSN di Kuala Lumpur di sini hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak RM33.4 bilion atau 48.48 peratus daripada RM69 bilion yang diperuntukkan bagi projek pembangunan kerajaan pada tahun ini telah dibelanjakan setakat 16 Ogos 2020, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, bagaimanapun, perbelanjaan itu belum mencapai separuh daripada jumlah yang telah diperuntukkan untuk tahun ini walaupun telah memasuki September.

“Perbelanjaan ini tidak sampai separuh dan ini menjadi isu kepada kerajaan kerana kita mahu menggerakkan ekonomi, ada banyak sebab yang telah menjejaskan prestasi antaranya penularan pandemik Covid-19.

“Bagaimanapun, kerajaan melalui Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya telah mengambil beberapa langkah proaktif bagi mempercepatkan projek pembangunan ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan dan menghadiri taklimat mengenai projek naik taraf asrama 14 tingkat dan podium Majlis Sukan Negara (MSN) di sini.

Lawatan itu adalah selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya pemantauan di peringkat akar umbi dijalankan secara berkala bagi meneliti perkembangan semasa susulan pembukaan semula ekonomi negara.

Mustapa berkata, bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini, nilai projek pembangunan kerajaan dan swasta menyusut kepada RM32 bilion daripada RM62 bilion untuk tempoh yang sama pada tahun 2019.

"Berlaku penguncupan dalam sektor pembinaan pada tahun ini iaitu sebanyak 44.5 peratus dan ia adalah peratusan penguncupan yang besar pada suku kedua tahun ini dan ekonomi kita juga menguncup sebanyak 17.1 peratus.

"Kita harap pada suku ketiga dan keempat, sektor ini dapat dipulihkan menerusi tindakan yang telah dilakukan oleh JKR seperti mempercepatkan proses pengeluaran Surat Setuju Terima (SST) bagi membolehkan projek dimulakan yang sebelum ini ambil masa tujuh hingga lapan bulan tapi sekarang disingkatkan kepada tiga hingga empat bulan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau berkata, sejak Jun tahun ini sebanyak 251 tender projek pembangunan yang bernilai RM7 bilion telah dikeluarkan manakala 133 tender masih belum dapat dikeluarkan.

"Diharapkan SST juga dapat dikeluarkan untuk 251 projek tersebut menjelang akhir tahun ini bagi membolehkan projek-projek itu dimulakan dan ia akan membantu mempercepatkan pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Mengenai lawatan semalam, projek menaik taraf asrama 14 tingkat yang boleh menempatkan sebanyak 350 orang dan satu blok podium tiga tingkat bagi kemudahan atlet negara tersebut dijangka siap sepenuhnya pada 30 Oktober ini.

Setakat ini, projek bernilai RM10 juta itu mencatatkan kemajuan sebanyak 94 peratus.

Ia dimulakan pada Ogos 2016 dan sepatutnya siap pada tahun 2018 bagaimanapun, terdapat beberapa masalah yang menyebabkan kelewatan projek antaranya bentuk muka bumi berbatu, masalah reka bentuk, berlaku peralihan kerajaan, penutupan jalan semasa berlangsungnya Sukan SEA pada 2017 dan dihentikan seketika semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!