Dilarang masuk Malaysia

Ismail Sabri (kiri) berbincang bersama KSU Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Suriani Ahmad (dua dari kanan) dan Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Mohd Rabin Basir (dua dari kiri) selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kempen Pembudayaan Normal Baharu di Putrajaya.
Ismail Sabri (kiri) berbincang bersama KSU Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Suriani Ahmad (dua dari kanan) dan Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Mohd Rabin Basir (dua dari kiri) selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kempen Pembudayaan Normal Baharu di Putrajaya.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan tidak membenarkan rakyat dari negara yang mencatatkan kes positif Covid-19 melebihi 150,000 untuk masuk ke Malaysia bermula Isnin depan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara negara dalam senarai sekatan itu ialah Amerika Syarikat, Brazil, Perancis, United Kingdom (UK), Sepanyol, Itali, Arab Saudi, Rusia dan Bangladesh selain tiga negara yang diumumkan pada Selasa lalu iaitu India, Indonesia dan Filipina.

"Kita akan tambah lagi (senarai negara) yang dianggap berisiko tinggi.

"Kecuali jika kes melibatkan kecemasan atau urusan berkaitan hubungan dua negara. Bagaimanapun, ia perlu mendapat kebenaran Jabatan Imigresen,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kempen Pembudayaan Normal Baharu di sini semalam.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan akan mengumumkan lebih lanjut mengenai senarai negara yang merekodkan kes positif Covid-19 melebihi 150,000.

Kelmarin, Ismail Sabri mengumumkan sekatan kemasukan pemegang pas jangka panjang dari India, Indonesia dan Filipina ke Malaysia bermula 7 September ini berikutan peningkatan mendadak kes positif Covid-19 di negara berkenaan.

Sekatan itu merangkumi enam kategori iaitu mereka berstatus pemastautin tetap (PR), Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), ekspatriat termasuk pemegang pas lawatan profesional (PVP) dan pemegang pas residen.

Turut disekat ialah pasangan kepada warganegara Malaysia dan anak-anak mereka serta pelajar dari ketiga-ketiga negara berkenaan yang ingin kembali ke Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan tiada halangan untuk membenarkan rakyat Malaysia dari negara berisiko tinggi untuk pulang namun mereka tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan iaitu kuarantin wajib 14 hari.

Mengenai Kempen Pembudayaan Normal Baharu, Ismail Sabri berkata, ia akan dilaksanakan sehingga 31 Disember ini bagi memastikan masyarakat terus mematuhi SOP yang telah digariskan bagi memerangi Covid-19.

Katanya, pelbagai kempen di pusat beli-belah, media sosial dan media cetak akan dibuat bagi memastikan tahap kepatuhan SOP berada di tahap tertinggi

“Sekarang kepatuhan SOP tinggi kerana adanya Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) dan polis boleh lakukan penguatkuasaan.

“Kita mahukan rakyat terus melakukan kawalan kendiri seperti pakai pelitup muka, kerap basuh tangan dan terus amalkan penjarakan fizikal,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!