Bukan masa untuk politik keangkuhan, kata Anwar Ibrahim
SHAH ALAM - Sekarang bukan waktunya untuk politik keangkuhan dan mencipta pertelagahan yang sia-sia dalam isu kedaulatan negeri Sabah, kata Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, sikap dan langkah beberapa pegawai tertinggi kerajaan Filipina yang mempersoal kedaulatan Malaysia ke atas Sabah adalah sangat tidak wajar.
"Saya mendukung pendirian kerajaan Malaysia dalam memperkukuhkan kedaulatannya di semua badan serantau mahupun antarabangsa.
"Sabah jelas merupakan sebahagian daripada Malaysia. Ini adalah keputusan dan muafakat yang dicapai oleh rakyat Sabah pada tahun 1963. Rakyat Malaysia adalah rakyat yang bersatu padu dan akan mempertahankan setiap inci wilayah negara ini.
"Malaysia, Filipina dan rakan lain di ASEAN adalah rakan serantau dalam mendepani pelbagai isu melibatkan geopolitik dan keselamatan yang mengesankan rantau ini dan warganya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN:
Malaysia tidak akan tunduk tuntutan terhadap Sabah: Muhyiddin
Setiausaha Luar Filipina mahu hidupkan kembali pejabat tuntut Sabah
Anwar berkata, usaha Malaysia dan Filipina dalam memerangi aktiviti lanun, penculikan, pendatang asing tanpa izin (PATI) dan terorisme menjadi tunjang utama dalam kerjasama pelbagai hala berkenaan.
"Ia akan memanfaatkan rakyat dan ekonomi kita dan seterusnya untuk segera pulih dari rempuhan wabak Covid-19.
"Ini adalah masanya untuk kita rangkul segala kekuatan yang ada untuk memampan dampak Covid-19, mendukung jutaan rakyat yang miskin dan terpinggir dan merencanakan masa depan yang aman dan sentosa untuk warga Malaysia dan Filipina," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!