PDC Telco akui kelemahan pengurusan punca hutang RM2.21 juta
GEORGETOWN - PDC Telecommunications Services Sdn Bhd (PDC Telco) mengakui berlaku kelemahan dalam pengurusan di syarikat tersebut sehingga mempunyai tunggakan hasil sewaan struktur menara telekomunikasi berjumlah RM2.21 juta.
Bagaimanapun, anak syarikat Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) itu telah memperbaiki kelemahan tersebut apabila membayar 86 peratus tunggakan berkenaan berjumlah RM1.82 juta.
Kelemahan itu terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 3 yang dibentangkan di Parlimen Julai lalu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, P Ayappan berkata, selain tunggakan, laporan tersebut turut membangkitkan isu pelantikan kontraktor yang tidak mematuhi prosedur perolehan yang ditetapkan.
Menurutnya, Laporan Ketua Audit Negara 2018 itu juga menyenaraikan mengenai kelulusan pemilihan kontraktor yang diputuskan melalui resolusi Lembaga Pengarah sahaja.
"Tunggakan yang dinyatakan itu adalah antara tempoh satu hingga enam bulan. Kita mengaku, berlaku kelemahan dalam pengurusan sehingga berlaku tunggakan tersebut.
"Bagaimanapun kita sudah melunaskan sebanyak RM1.82 juta dan kini baki semasa hanya RM390,000," katanya pada sidang media yang turut dihadiri Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), hari ini.
Tambahnya, sebelum ini syarikat tersebut belum mempunyai mekanisme kutipan hutang sehingga berlakunya tunggakan.
"Sebenarnya, ketika itu, syarikat belum ada mekanisme dalam mengutip sewaan dari syarikat telco yang menyewa menara telekomunikasi PDC Telco. Namun, ia sudah diperbaiki dengan mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) yang baru.
"Selain itu, perkhidmatan penyelenggaraan dilakukan secara berkala empat kali setahun manakala audit tapak dibuat tiga kali setahun. Sementara itu, kedudukan kewangan PDC Telco berada di tahap yang kukuh dengan pembayaran RM6 juta pada tahun lalu," katanya.
Ayappan berkata, syarikat itu turut mencatatkan keuntungan yang memberangsangkan iaitu RM12.66 juta pada tahun lalu dan dijangka RM13 juta bagi tahun ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!