27 premis kotor di Perak diarah tutup
BATU GAJAH - Sebanyak 27 premis makanan di Perak telah diarah tutup selepas didapati beroperasi dalam keadaan kotor bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.
Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, statistik dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) itu adalah hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas 2,453 premis makanan sejak Januari lalu.
Menurutnya, penutupan itu dibuat mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 antaranya kesalahan mengabaikan tahap kebersihan premis dan tidak mempunyai kawalan makhluk perosak.
"Pemeriksaan telah dijalankan oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan dan didapati kesemua premis ini tidak terurus dan tidak dijaga dengan bersih terutama di bahagian dapur.
"Bukan itu sahaja, premis-premis ini juga dibiarkan tanpa kawalan hinggakan makhluk perosak seperti tikus dan lipas masuk ke premis yang mana kita tahu, ia boleh mendatangkan kesan kepada makanan yang disediakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Negeri Perak di Pasar Awam Batu Gajah, di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming; Pegawai Daerah Kinta, Meor Hezbullah Meor Abdul Malik dan Yang Dipertua Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG), Mohamad Razif Ramli.
Ahmad Saidi berkata, dalam tempoh yang sama, JKN Perak juga telah melakukan sitaan ke atas 424 produk makanan membabitkan nilai keseluruhan RM27,485 atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Makanan 1983.
Katanya, di bawah Seksyen 39B Akta Makanan 1983 pula, sebanyak 394 notis bagi Kesalahan-kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 dan 97 notis Peraturan-peraturan Makanan 1985 telah dikeluarkan terhadap pengusaha serta pengendali makanan di negeri ini.
"Kita dapati jumlah premis yang mencapai tahap kebersihan rendah dengan markah di bawah 75 peratus masih lagi tinggi iaitu 151 premis manakala dari segi keselamatan dan kualiti makanan pula, sebanyak 48 aduan telah diterima," katanya.
Beliau berkata, sejajar dengan strategi dan hala tuju keselamatan makanan tahun ini, JKN Perak melalui kerjasama pintar antara agensi yang mengawal selia komoditi makanan akan membentuk Jawatankuasa Induk Keselamatan Makanan di Pasar dalam waktu terdekat ini.
Menurutnya, jawatankuasa itu bagi merancang dan melaksanakan aktiviti keselamatan makanan di pasar dengan menjalankan kempen kesedaran dalam kalangan peniaga dan pengguna.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!