Tawar barangan percuma sebelum tipu pengguna

Saharuddin (dua dari kanan) melihat mesin penapis air yang disita KPDNHEP.
Saharuddin (dua dari kanan) melihat mesin penapis air yang disita KPDNHEP.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Demi mencapai sasaran jualan, ejen sebuah syarikat mesin penapis air sanggup memperdayakan pengguna dengan helah tertentu sehingga mangsa terpaksa menanggung tunggakan bil ratusan ringgit.

Taktir kotor ejen tersebut terbongkar selepas tiga mangsa dari Kampung Kelulut, Marang tampil membuat aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, di sini 14 Januari lalu.

Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata, berdasarkan laporan, mangsa mendakwa ejen mesin penapis air itu bertandang ke rumah pengadu beberapa kali untuk mempromosikan produk tersebut namun mangsa tidak berminat membeli.

“Ejen itu kemudian memujuk dan menyatakan ingin menawarkan barangan percuma tanpa perlu membuat sebarang bayaran menyebabkan mangsa bersetuju.

“Bagaimanapun, pengadu kemudian menerima panggilan dari syarikat penapis air supaya menjelaskan bayaran bulanan tertunggak selama empat bulan.

“Bagi pengadu ketiga pula, ejen mesin penapis air itu telah menggunakan salinan kad pengenalan dan kad bank pengadu bagi tujuan memberi produk kepada orang lain dan bayaran pula perlu dijelaskan oleh pengadu tanpa pengetahuannya.

“Mangsa hanya menyedari perkara ini setelah mendapat bil tunggakan dari syarikat mesin penapis itu,” katanya dalam satu sidang media di pejabatnya hari ini.

Menurutnya, mangsa pertama menerima bil tunggakan sebanyak RM364, pengadu kedua berjumlah RM217 manakala mangsa ketiga sebanyak RM364.

Artikel Berkaitan:

Saharuddin berkata, hasil laporan itu pihaknya melakukan pemeriksaan terhadap syarikat berkenaan dan mendapati dokumen borang jualan digunakan bukan kontrak jualan langsung sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 23 AJKSAP 1993.

Dokumen itu juga katanya tiada tandangan penjual atau ejen berkaitan manakala ejen turut melakukan pengambilan deposit dan penyerahan barang dalam tempoh bertenang.

“Selain itu, kita juga mendapati lima produk syarikat ini yang dipasarkan tidak mendapat kelulusan daripada KPDNHEP,” katanya.

Sehubungan itu, KPDNHEP bertindak menyita lima penapis air, penapis angin dan udara dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM25,870.

“Sekiranya ada mana-mana pihak yang tertipu dengan kes seumpama ini, kita minta mereka tampil buat aduan kepada KPDNHEP. Kita juga nasihati pengguna agar tidak sewenang-wenangnya memberi salinan dokumen penting seperti kad pengenalan kepada orang lain agar tidak disalahguna.

“Bagi ejen jualan langsung pula, mereka perlu faham dengan peraturan yang termaktub dalam akta jualan langsung dan piramid. Kalau tidak faham, kita minta syarikat memberi latihan dan kursus sewajarnya kepada ejen-ejen mereka,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!