Azroy dipintas Helmi saat akhir di Sepang

Antara aksi menarik perlumbaan Kelas CP150 Pusingan 3 di Litar Sepang Selatan hari ini.
Antara aksi menarik perlumbaan Kelas CP150 Pusingan 3 di Litar Sepang Selatan hari ini.
A
A
A

"KEADAAN jentera saya kurang stabil ketika mengharungi perlumbaan akhir hari ini. Begitupun, saya tetap mencuba dan selepas tiga lap, ia mula menunjukkan peningkatan sehingga saya berjaya memberi saingan kepada pelumba di barisan hadapan.

“Namun, pada lap terakhir saya mendapati prestasi enjin kembali menurun dan saya gagal untuk memecut dengan kelajuan maksimum.

"Apa pun, saya tetap berbangga kerana berjaya menamatkan perlumbaan ini dengan kedudukan naib juara biar pun berdepan dengan kesukaran ketika mengharungi perlumbaan akhir itu tadi."

Demikian jelas pelumba Idemitsu Honda Yuzy Racing, Azroy Hakeem Anuar yang sekali lagi hampa untuk bergelar juara pada aksi Pusingan 3 Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas 2020 di Litar Sepang Selatan hari ini.

Pada perlumbaan akhir kelas CP150 itu, Azroy sekadar menamatkan saingan di tempat kedua dengan catatan masa 14:15.978 saat (s).

Meskipun gagal menguasai perlumbaan tersebut, tetapi Azroy terus memperlihatkan prestasi konsisten selepas turut menjejak kaki di podium pada Pusingan 1 apabila menduduki tempat ketiga diikuti tempat kedua pada aksi di Tangkak minggu lalu.

Dia kini kekal menduduki kedudukan pertama dalam carta keseluruhan dengan mengumpul 56 mata.

Misi Azroy hari ini dihalang pelumba Hi Rev SCK Hoinda Racing, Md Helmi Azman yang melakar kemenangan keduanya Sepang selepas melakukannya pada Pusingan 1 bulan lalu.

Artikel Berkaitan:

Helmi yang berjaya memintas Azroy pada detik-detik terakhir, menamatkan perlumbaan penuh dramatik itu dengan merekodkan masa 14:15.941s.

Pelumba dari Selangor ini berjaya menghuni tempat kedua dalam kedudukan keseluruhan dengan meraih 50 mata setakat ini.

Empat terbaik Pusingan 3 Kelas CP150 di Sepang hari ini.
Empat terbaik Pusingan 3 Kelas CP150 di Sepang hari ini.

Tempat ketiga perlumbaan akhir kelas premier itu berada dalam genggaman Md Akid Aziz yang menggalas cabaran Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor.

Akid yang muncul juara di Tangkak minggu lalu serta memulakan perlumbaan hari ini di petak hadapan, mencecah garisan penamat dengan catatan masa 14:15.983s.

“Serba tidak menjadi hari ini. Apa yang saya rancangkan tidak berjalan dengan baik, Begitupun, saya tetap berbangga kerana masih mampu menamatkan perlumbaan ini di atas podium kemenangan. Terima kasih kepada semua krew pasukan atas kerja keras mereka untuk menyediakan jentera terbaik buat saya mengharungi saingan di Pusingan 3 ini,” jelas Akid.

Akid kini berada di kedudukan ketiga keseluruhan dengan memungut 41 mata.

Sementara itu seperti dijangka, perlumbaan akhir kelas CP125 terus dikuasai ONEXOX TKKR SAG Team apabila Hafiza Rofa tampil dalam kelas tersendiri untuk muncul juara dengan merekodkan masa 11:05.311s.

Seorang lagi rakannya, Md Shafiq Rasol yang muncul juara di Tangkak minggu lalu, menamatkan perlumbaan hari ini di kedudukan ketiga dengan masa 11:06.384s.

Tempat kedua milik Md Syafiq Rosli (Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor) yang merekodkan masa 11:06.609s.

Untuk rekod, Shafiq Rasol terus mengukuhkan kedudukannya selaku pendahulu keseluruhan dengan mengumpul 61 mata diikuti Syafiq Rosli (51 mata) dan Hafiza yang kini sudah mengumpul 41 mata.

Turut berada dalam genggaman ONEXOX SAG Team adalah gelaran juara untuk kategori Wira menerusi kemenangan yang dilakar oleh Md Aeiman Hafidz Shahril.

Aeiman menamatkan perlumbaan tujuh lap itu dengan catatan masa 9:54.353s diikuti tempat kedua, Rahimi Nabil Razu (Petronas Sprinta Yamaha-31 Racing) yang mencatat masa 9:54.375s.

Tempat ketiga diraih seorang lagi pelumba Petronas Sprinta Yamaha-31 Racing, Md Aqil Danial Nasrul dengan masa 9:54.465s.

Rahimi yang menjuarai perlumbaan Pusingan 1 di Sepang bulan lalu, kini menghuni kedudukan teratas dalam carta keseluruhan selepas mengumpul 53 mata.

Tempat kedua dihuni Aeiman dengan 38 mata diikuti Md Norhakim Norhafizullah (ONEXOX SAG Team) dengan 35 mata.

Terengganu akan menjadi hos untuk aksi Pusingan 4 yang dijadualkan berlangsung pada 18 hingga 19 September ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!