Lalai patuhi SOP, pasukan Liga-M berdepan hukuman, denda
PASUKAN-pasukan saingan Liga Malaysia (Liga-M) diingatkan supaya tidak memandang mudah terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang saingan liga dalam usaha memutuskan rantaian pandemik Covid-19.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan, terdapat segelintir pasukan-pasukan Liga-M masih lalai dan tidak mematuhi SOP ditetapkan sepanjang berlangsungnya semula saingan liga sepanjang bulan lalu.
"Pihak sekretariat MFL telah memantau perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier yang kembali bersambung pada 28 dan 29 Ogos termasuk dua perlawanan tertunda pada 22 Ogos.
"Kami mendapati terdapat beberapa pelanggaran SOP yang kerap berlaku sepanjang tempoh perlawanan berikut berdasarkan laporan komisioner perlawanan yang dilantik.
“(Pertama) kegagalan pegawai pasukan dan petugas memakai pelitup muka dengan betul dan (kedua) pematuhan penjarakan fizikal tidak diamalkan oleh petugas dan VVIP yang hadir," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Sehubungan itu, Ab Ghani mengesa semua pasukan-pasukan Liga-M supaya terus mematuhi SOP ditetapkan bagi mengelak dikenakan hukuman dan denda kerana kegagalan mematuhi peraturan dalam menjayakan baki saingan Liga-M musim ini.
Tegas Ab Ghani, semua pasukan perlu sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran Liga-M yang kembali bersambung pada 28 Ogos selepas ditangguhkan pada 16 Mac akibat penularan Covid-19.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!