Inovasi kekal kelangsungan hidup
SEJAK seminggu lalu, panggilan dari Tokyo tidak berhenti berbunyi. Sahabat lama di Tokyo University of Agriculture and Technology (TUAT) sentiasa setia memberi perkembangan terbaharu dari Jepun.
Berita yang paling memeranjatkan sudah pasti berkisar peletakan jawatan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe.
Selain berita sedih, sahabat lama sempat berjenaka dan bertanyakan perkembangan ‘kereta terbang Malaysia’.
Sahabat lama itu bercerita sebuah syarikat Jepun bernama SkyDrive baru sahaja selesai menguji prototaip satu tempat duduk untuk kenderaan pendaratan dan pendaratan menegak kuasa elektrik kereta terbang Jepun di Toyota Test Field.
Bagaimanapun, penulis lebih tertarik dengan sebuah berita yang dikongsi sahabat berkenaan. Sabtu lalu, syarikat All Nippon Airways (ANA) melakukan penerbangan ‘bersiar-siar’ menggunakan pesawat A380 melibatkan seramai 334 orang penumpang.
Itulah kali pertama pesawat berkenaan terbang membelah awan sejak 25 Mac lalu.
Mengikut jadual, pesawat itu sepatutnya terbang ke Honolulu, Hawaii, Amerika Syarikat. Rentetan itu, pengurusan ANA memutuskan untuk menggunakan tema ‘Hawaiian Experience’.
Timbul satu pertanyaan, kenapa ANA memutuskan untuk melakukan ‘penerbangan bersiar-siar’? Tatkala beberapa syarikat penerbangan utama dunia seperti Qantas dan Lufthansa ‘menyorokkan’ pesawat A380 untuk tempoh beberapa tahun akan datang, ANA bertindak keluar daripada kepompong kekecewaan.
Itulah perbezaan cara berfikir orang Jepun. Mereka menerbangkan 334 penumpang seolah-olah mereka akan menuju ke destinasi sebenar di Honolulu tetapi kembali ke Lapangan Terbang Narita selepas berlegar-legar di udara. Agak pelik kerana pesawat itu sebenarnya berlepas dari Lapangan Terbang Narita kira-kira 90 minit sebelum itu.
Penulis percaya insiden itu dirancang dengan teliti bagi memastikan kemampuan sistem kejuruteraan ANA, khususnya bahagian kejuruteraan powertrain, enjin, sistem kawalan dan penyelenggaraan pesawat sentiasa pada tahap optimum serta dapat mengekalkan prestasi cemerlang sekalipun ketika pandemik Covid-19.
Memajukan diri dan organisasi dengan menuntut serta mengkaji ilmu amatlah disarankan oleh ALLAH SWT sebagaimana ayat dalam surah Al-‘Alaq ayat 1-5 maksudnya, “Bacalah (kajilah) dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah, Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.”
ALLAH SWT akan meningkatkan darjat kelebihan kepada orang yang berilmu sebagaimana tercatat dalam surah Ali-Imran ayat 18 maksudnya, “ALLAH SWT menyatakan bahawasanya tidak ada Tuhan melainkan Dia (yang berhak disembah), yang menegakkan keadilan, para malaikat dan orang-orang yang berilmu (juga menyatakan yang demikian itu). Tiada Tuhan melainkan Dia (yang berhak disembah), Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”
Senario yang sama harus diaplikasi di Malaysia. Sektor kejuruteraan dan komputer yang dianggap teras dalam era Revolusi Perindustrian 4.0 mesti sentiasa ditingkatkan bagi menghasilkan inovasi kompetitif pada setiap masa. Terbang dan berlegar di udara selama 90 minit mungkin dianggap kerja gila. Namun, di sebalik yang tersirat adalah ANA sentiasa menguji tahap kemahiran semua pekerjanya.
Kesimpulannya, sentiasa berinovasi dan mengekalkan prestasi untuk terus berdaya saing atau kompetitif merupakan resipi utama pasca Covid-19. Normal baharu menuntut satu kelainan yang ketara. Penerbangan ‘bersiar-siar’ membuktikan inovasi mampu mengekalkan momentum sesebuah organisasi demi kelangsungan hidup.
* Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteran Sukan, Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!