Rakyat Malaysia masih gagal urus sampah

Masih ramai yang membuang sampah sesuka hati tanpa mengendahkan kesannya kepada masyarakat dan alam sekitar.
Masih ramai yang membuang sampah sesuka hati tanpa mengendahkan kesannya kepada masyarakat dan alam sekitar.
A
A
A

TAHUN 2020 bakal melabuhkan tirainya dalam jangka masa empat bulan dari sekarang, namun sikap rakyat Malaysia terhadap pengurusan sampah masih di takuk lama.

Masih ramai yang membuang sampah sesuka hati tanpa mengendahkan kesannya kepada masyarakat, alam sekitar dan imej Malaysia sebagai negara yang sedang pesat membangun.

Perkara itu dilihat semakin menjadi-jadi terutama ketika berlangsungnya cuti umum. Pusat peranginan dan taman rekreasi pasti akan dipenuhi dengan sampah akibat perbuatan tangan segelintir rakyat yang tidak bertanggungjawab.

Sebagai contoh, semasa cuti Aidiladha lalu, tular dalam media sosial mengenai longgokan sampah yang dibiarkan di sepanjang bahu jalan raya di sebuah negeri di pantai timur. Senario itu berlaku disebabkan sikap segelintir pengguna yang malas hendak menguruskan sendiri sisa sampah yang dihasilkan.

Baru-baru ini ketika cuti Hari Kebangsaan ke-63, perkara sama turut terjadi di sebuah pantai di selatan tanah air. Kawasan peranginan yang cantik dicemari dengan longgokan sampah.

Berdasarkan kes demi kes yang berlaku, boleh disimpulkan bahawa rakyat Malaysia masih gagal dalam bab pengurusan sampah walaupun didikan demi didikan telah diterapkan sejak di bangku sekolah rendah.

Jadi, sudah sampai masanya kerajaan memperkasakan undang-undang berkaitan dengan sampah. Jika tidak, perkara sama akan berlarutan sehingga menjadi budaya dalam masyarakat.

Pelaksanaannya perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh, bukan sekadar meletakkan tanda amaran tanpa sebarang tindakan.

Artikel Berkaitan:

Pemantauan pihak berkuasa perlu dilakukan di tempat-tempat tumpuan bagi mendidik rakyat agar melupuskan dan menguruskan sisa buangan yang dihasilkan dengan baik dan bukan meninggalkannya sesuka hati.

Cuba lihat negara jiran di seberang tambak. Ketegasan pemerintahnya menguatkuasakan undang-undang berkaitan pembuangan sampah menyebabkan rakyat mereka tidak berani membuang sampah sesuka hati.

Hasilnya, negara mereka bersih dan bebas daripada sisa sampah yang bertaburan sama ada di jalanan atau kawasan perumahan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!