Hiduplah dengan beretika dan bertamadun, budayakan adab dan sikap
SETAHUN lalu, Merak Jalanan teruja melihat kalendar yang bakal bertukar tahun memasuki 2020. Merak Jalanan harapkan tahun 2020 membawa 1,001 perubahan yang membawa kepada kebaikan terutama melibatkan sikap rakyat.
Ketika itu, Merak Jalanan tidak harapkan kereta terbang memenuhi ruang udara atau robot menggantikan orang ramai membuat kerja, sebaliknya hanya mengharapkan pemikiran dan sikap rakyat Malaysia berubah sejajar dengan perubahan zaman.
Merak Jalanan harapkan orang kita lebih bersopan ketika berbicara, beratur mengikut barisan ketika membeli-belah dan hidup mengikut adab sebagaimana diajar oleh agama masing-masing.
Namun, yang berlaku adalah sebaliknya. Sikap rakyat masih tidak berubah. Masih ramai yang memandu sesuka hati dan membahayakan orang ramai. Malah, masih ramai juga yang tidak pandai membuang sampah di tempat yang sepatutnya.
Kalau begitu sikapnya, sukar untuk Malaysia maju seiring dengan perubahan zaman. Lihat sahaja negara Eropah dan Jepun. Mereka maju kerana membudayakan adab dan sikap. Mereka sentiasa menunjukkan contoh yang baik dan beretika dalam menjalankan kehidupan seharian.
Mereka aplikasikan dalam kehidupan sebagai disiplin yang mendorong mereka untuk terus maju, sekali gus menjadi perhatian dunia luar sebagai bangsa yang bertamadun.
Jika kita juga beretika dan bertamadun dalam segala tindak-tanduk, tidak mustahil Malaysia mampu mengekori jejak langkah mereka. Justeru, tekad perlu disematkan untuk menjadi rakyat yang bertamadun dalam usaha memastikan negara terus membangun.
Sifirnya mudah apabila kita hidup beretika dan bertamadun, Merak Jalanan lihat lebih mudah negara melaksanakan polisi yang ditetapkan. Jika sebaliknya, maka sukar untuk memajukan negara walaupun seribu tahun lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!