Taktik BN guna isu agama, kaum tidak jejas sokongan pengundi

Khalid Abd Samad
Khalid Abd Samad
A
A
A

PUTRAJAYA - Taktik BN menggunakan isu kaum dan agama tidak menjejaskan sokongan pengundi kepada Pakatan Harapan (PH) di Cameron Highlands, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad.

Beliau berkata, ini adalah kerana kajian menunjukkan undi Melayu dan Orang Asli untuk PH bertambah walaupun ramai pengundi bukan Melayu didapati tidak keluar mengundi khususnya di Dun Tanah Rata.

"Walaupun pengundi bukan Melayu kurang keluar mengundi semalam, sokongan terhadap PH kekal dan kemungkinan boleh menang.

"Kita dapati peratusan undi masyarakat Melayu dan orang asli mula berubah ke arah PH," katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran program Placemaking@ Jejak Sisiran di Presint 1 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kemenangan BN mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands selepas calonnya, Ramli Mohd Nor diumum menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) semalam.

Ramli meraih 12,038 undi untuk menewaskan calon PH Manogaran (8,800 undi), dan dua calon Bebas, Sallehudin Ab Talib (314 undi) dan Wong Seng Yee yang memperoleh 276 undi.

Dalam pada itu, Khalid mengakui Cameron Highlands merupakan kubu kuat BN dan kawasan itu tidak pernah dimenangi parti lain selain BN sejak kerusi itu ditandingi parti MIC.

Namun, beliau menyifatkan kemenangan semalam hanya sekadar mempertahankan sokongan masyarakat terhadap parti itu.

Artikel Berkaitan:

"BN cakap mereka mencapai kejayaan besar, tetapi bila saya kaji, keputusan ialah BN berjaya mempertahankan sokongan dan terpaksa menggunakan taktik berbeza untuk sekadar mengekalkan gabungan Pas dan Umno.

"Sokongan itu dicampur dengan undi parti Pas pada PRU14 dan gabungan undi BN-Pas pada PRU14, adalah majoriti diperolehi pada PRK semalam," katanya.

Pada PRU14, Datuk C Sivarraajh daripada BN berdepan saingan lima penjuru, menang di kerusi itu selepas memperoleh 10,307 undi, manakala Manogaran meraih 9,710 undi.

Calon Pas, Wan Mahadir Wan Mahmud memperoleh 3,587 undi, Parti Sosialis Malaysia (PSM), B Suresh Kumar (680 undi) dan calon Berjasa, Mohd Tahir Kassim, 81 undi. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!