Korea Selatan sedia AS$143 juta bangunkan vaksin Covid-19

Bulan lalu, Korea Selatan membenarkan Genexine Inc, sebuah firma bioteknologi tempatan untuk melakukan percubaan Tahap I rawatan vaksin Covid-19 ke atas manusia.
Bulan lalu, Korea Selatan membenarkan Genexine Inc, sebuah firma bioteknologi tempatan untuk melakukan percubaan Tahap I rawatan vaksin Covid-19 ke atas manusia.
A
A
A

SEJONG - Kementerian Kewangan Korea Selatan pada Jumaat berkata, pihaknya telah menyediakan peruntukan 170.7 bilion won (AS$143 juta) bagi membantu syarikat-syarikat tempatan membangunkan vaksin sendiri dan ubat-ubatan, pada tahun hadapan bagi memerangi pandemik Covid-19, lapor agensi berita Yonhap.

Daripada bajet itu, 31.9 bilion won akan dibelanjakan bagi tujuan mencari bahan untuk vaksin berpotensi dan 7.4 bilion pula dibelanjakan untuk ujian klinikal bukan manusia, kata Kementerian Ekonomi dan Kewangan dalam satu kenyataan.

Sejumlah 131.4 bilion won lagi bakal dibelanjakan untuk ujian klinikal ke atas manusia, kata kementerian itu.

Selain itu, kerajaan akan membelanjakan 200 juta won (AS$168 juta) tahun depan bagi meningkatkan kemudahan penyelidikan untuk membantu memerangi penyakit berjangkit, kata kementerian itu.

Di peringkat global, firma farmasi dan saintis berusaha untuk membangunkan vaksin yang selamat dan berkesan terhadap Covid-19, dan ramai pakar bersetuju bahawa pengeluaran besar-besaran vaksin seumpama itu dapat dilakukan pada pertengahan tahun hadapan.

Bulan lalu, Korea Selatan membenarkan Genexine Inc, sebuah firma bioteknologi tempatan untuk melakukan percubaan Tahap I rawatan vaksin Covid-19 ke atas manusia.

Tahun depan, pemerintah akan membelanjakan 27.2 trilion won (AS$22.8 bilion) untuk penyelidikan dan pembangunan, meningkat 12.3 peratus berbanding tahun ini.

Ini menandakan tahun kedua berturut-turut anggaran penyelidikan meningkat dua digit, berikutan lonjakan 18 peratus tahun ini.

Artikel Berkaitan:

-Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!