'Kalau betul berlaku sogokan, Tun M kena buktikan'
TANJUNG MALIM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Mohd Zaidi Aziz menyifatkan tuduhan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa pengundi disogok untuk mengundi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim lalu tidak berasas.
Beliau berkata, perkara itu sudah disemak dengan Pejabat UMNO Bahagian Tanjung Malim dan tidak berlaku pemberian wang kepada pengundi seperti didakwa oleh pemimpin Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu.
Menurutnya, tuduhan yang dilemparkan amat berat dan ia perlu dibuktikan jika benar perkara tersebut berlaku ketika PRK DUN Slim yang lepas.
"Banyak sangat duit UMNO dan BN nak beri kepada 13,000 pengundi yang sokong kita. Tuduhan ini langsung tak masuk akal dan saya sudah tanya jentera serta Pejabat UMNO Bahagian Tanjung Malim, mereka kata tak ada.
ARTIKEL BERKAITAN: Tiada laporan kes sogok wang PRK DUN Slim
"Tak tahulah kalau mereka sendiri yang buat bagi pada pengundi. Kalau betul ada Tun Dr Mahathir kena buktikan dan minta pihak berkuasa siasat tuduhan itu," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Semalam, Dr Mahathir dalam sidang akhbar di Yayasan Kepimpinan Perdana mendakwa sogokan wang kepada pengundi secara berleluasa merupakan punca kekalahan teruk calonnya.
Dalam perkembangan lain, Mohd Zaidi berkata, setelah seminggu dipilih sebagai ADUN Slim, beliau meneruskan aktiviti bertemu dengan masyarakat seperti mana yang dilakukan ketika berkempen pada PRK DUN Slim lalu.
Menurutnya, masyarakat yang ditemui menerima baik beliau sebagai ADUN Slim yang baharu dan pelbagai aduan serta masalah diterima sepanjang pertemuan di sekitar DUN Slim.
Malah katanya, dalam seminggu itu juga beliau dapat menyelesaikan rungutan orang ramai dan peniaga mengenai lokasi Pasar Pagi Ahad.
"Ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), lokasi pasar pagi itu dipindahkan ke Pusat Perniagaan Slim Perdana, Slim River di sini namun lokasi tersebut jauh dan orang ramai susah nak pergi.
"Saya dah berbincang dengan Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM) tentang rungutan tersebut dan pihak MDTM bersetuju untuk memindahkan semula ke lokasi asal mulai Ahad ini," katanya.
Mohd Zaidi berkata, beberapa masalah lain yang dibangkitkan juga akan diselesaikan mengikut kemampuan dan keutamaan demi kepentingan rakyat di dalam kawasan DUN ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!