Fiksyen politik macam-macam: Ahmad Shabery
SHAH ALAM - Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyindir kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa Barisan Nasional (BN) memberi sogokan kepada pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, minggu lalu.
Menurut bekas Ahli Parlimen Kemaman itu, ia merupakan dakwaan tidak berasas.
"Fiksyen politik macam-macam. Dulu ada cerita 40,000 pengundi Bangladesh dan macam-macam lagi bila kalah.
"Kita tunggu lah bantahan dalam tempoh 14 hari ni. Kalau ada bukti, mungkin calon cap pokok (Bebas) masih boleh jadi ADUN," katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya, hari ini.
Semalam, Dr Mahathir dalam sidang akhbar di Yayasan Kepimpinan Perdana mendakwa sogokan wang kepada pengundi secara berleluasa merupakan punca kekalahan teruk calonnya.
BN berjaya mengekalkan kerusi DUN Slim dengan mencapai kemenangan dalam PRK pada 29 Ogos lalu.
Calonnya, Mohd Zaidi Aziz, 43, menang dengan majoriti 10,945 selepas memperoleh 13,060 undi dalam pertandingan tiga penjuru bersama dua calon Bebas.
Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, yang menggunakan lambang pokok mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) memperoleh 2,115 undi, manakala bekas guru, S Santharasekaran, 44, dengan lambang buku pula memperoleh 276 undi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!