Status keahlian Bersatu Osman masih belum diputuskan

Megat Najmuddin Megat Khas. - Foto sumber internet
Megat Najmuddin Megat Khas. - Foto sumber internet
A
A
A

JOHOR BAHRU - Lembaga Disiplin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih belum membuat keputusan berhubung status keahlian bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian, sekali gus menyangkal laporan sebuah portal hari ini.

Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas berkata, pihaknya akan memanggil Osman dalam masa terdekat bagi mendapat penjelasan berhubung satu video membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas tersebut.

"Jika mengikut Fasal 10.2.3 Perlembagaan Bersatu, memanglah keahlian Osman akan terhenti kerana melanggar peraturan parti, tetapi kita mengambil kira pertimbangan tertentu sebelum buat keputusan.

"Ia mengambil kira kedudukan jumlah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN). Jika keahlian Osman dihentikan, Dewan Undangan Negeri (DUN) akan tergantung," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Dibuang Bersatu: Belum ada surat rasmi, kata Osman

Tindakan Osman berkempen menyokong calon bebas pada PRK DUN Slim lalu mencetuskan pelbagai desas desus termasuk kemungkinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas itu dilucutkan keahlian dalam parti dan menjadi ADUN Bebas.

Bagaimanapun, sekiranya Osman bertindak menyertai Pakatan Harapan (PH), sidang DUN Johor akan tergantung kerana bilangan kerusi dimiliki Perikatan Nasional (PN) ialah 28 kerusi, sama bilangannya dengan pembangkang.

DUN Johor kini memiliki 56 kerusi dengan agihan sebelum ini adalah UMNO dan DAP masing-masing 14, selain Bersatu (12), MIC (dua), Pas (satu), Amanah (9) dan PKR (empat).

Ia menjadikan kerajaan PN mempunyai 29 kerusi berbanding PH sebanyak 27 kerusi, manakala majoriti mudah bagi membentuk kerajaan baharu di Johor ialah 29 kerusi.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!