BUKIT MERTAJAM - Mayat seorang lelaki warga emas ditemui dalam keadaan terlentang tanpa seurat benang di sebuah kebun durian di Berapit di sini hari ini. Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, mayat Cheng Lip Soon @ Chung Joo, 77, ditemui kira-kira jam 3.30 petang oleh seorang lelaki yang kebetulan melalui kawasan kebun durian berkenaan. Sebaik menerima laporan, katanya, sepasukan anggota polis ke lokasi kejadian dan menemui mayat lelaki itu di sebuah pondok dalam kebun di kawasan belakang Taman Pearl di sini. "Polis mendapati keadaan mayat terlentang dan bogel di hadapan pintu pondok tersebut. Hasil pemeriksaan awal tiada sebarang tanda-tanda yang boleh dikaitkan dengan perlakuan jenayah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini. Shafee berkata, mayat berkenaan dibawa ke Hospital Bukit Mertajam di sini untuk tujuan bedah siasat dan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.