Kerja remediasi tapak pencemaran sungai dimulakan
PUTRAJAYA - Kerajaan memulakan kerja-kerja remediasi tapak yang mengandungi bahan cemar di lokasi yang dikenalpasti sebagai punca pencemaran air mentah sehingga ke tiga Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1,2,3 dan LRA Rantau Panjang.
Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dalam kenyataannya berkata, tindakan itu bagi memastikan tidak ada bahan pencemaran yang masih bertompok di tebing dan aliran sungai.
"Kos kerja-kerja remediasi ini akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak yang menyebabkan pencemaran," katanya.
Menurutnya, kementerian itu menerima laporan mengenai gangguan bekalan air yang dibekalkan oleh LRA tersebut sejak semalam.
"Sebuah premis disyaki sebagai punca pencemaran," katanya.
Tambah KASA, pihaknya mengambil sampel bahan bukti untuk dianalisis sebelum tindakan selanjutnya dilakukan.
"Premis tersebut telah disita dan digantung operasi selama dua minggu.
"Jika bahan pencemar dapat disahkan, tindakan perundangan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] dan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 [Akta 655] akan diambil," katanya.
Hampir 1.2 juta akaun Air Selangor di Selangor dan Kuala Lumpur mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual akibat pencemaran tersebut bermula semalam.
Notis penutupan premis dikeluarkan terhadap pemilik premis di Sungai Gong selepas disyaki melepaskan sisa seakan pelarut ke sungai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!