Kapal Mongolia bersauh tanpa kebenaran ditahan

Sebuah kapal yang berdaftar di Mongolia ditahan kerana bersauh tanpa kebenaran pada kedudukan 10.3 batu nautika timur Tanjung Penawar, Kota Tinggi semalam.
Sebuah kapal yang berdaftar di Mongolia ditahan kerana bersauh tanpa kebenaran pada kedudukan 10.3 batu nautika timur Tanjung Penawar, Kota Tinggi semalam.
A
A
A

KOTA TINGGI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tanjung Sedili menahan sebuah kapal tangki pada kedudukan 10.3 batu nautika timur Tanjung Penawar, dekat sini semalam.

Pengarah APMM Zon Tanjung Sedili, Kepten Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata, kapal ronda APMM mengesan kapal tangki tersebut sedang bersauh tanpa kebenaran Jabatan Laut pada jam 10.40 pagi.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati kapal tangki itu dikendalikan nakhoda dan tiga kru yang kesemuanya lelaki warganegara Indonesia berumur lingkungan 30 hingga 50 tahun.

"Kita dapati menerusi dokumentasi yang ditunjukkan, kapal itu didaftarkan di Ulaanbaatar, Mongolia. Mereka telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar (OPS) 1952 kerana berlabuh tanpa pemakluman Pengarah Jabatan Laut.

"Jika disabitkan kesalahan ini boleh dikenakan denda antara RM20,000 hingga RM100,000," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, perintah penahanan ke atas kapal juga dikeluarkan dan dua daripada kru kapal tersebut dibawa ke Pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut.

"APMM sentiasa memandang serius ke atas pematuhan undang-undang dan tindakan sewajarnya akan diambil demi memastikan kesejahteraan perairan negara khususnya perairan Johor timur.

"Pengusaha perkapalan atau pemilik kapal dinasihatkan untuk memohon kebenaran bersauh daripada Jabatan Laut Malaysia dan mengikut peraturan untuk melakukan sebarang aktiviti, katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!