Penganjuran Pesta Pulau Pinang dibatalkan
GEORGETOWN - Pesta Pulau Pinang Sungai Nibong yang menjadi salah satu acara tahunan di negeri ini setiap hujung tahun tidak akan dianjurkan pada tahun ini berikutan penularan wabak koronavirus (Covid-19).
Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang, Datuk Sarul Bahiyah berkata, keputusan pembatalan acara berkenaan dibuat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang pada 12 Ogos lalu.
"Berdasarkan keadaan semasa di negeri ini yang sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19, MMK telah membuat ketetapan penganjuran Pesta Pulau Pinang 2020 yang dijadualkan bermula 1 Disember depan dibatalkan," katanya.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang turut membatalkan Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Pulau Pinang pada 31 Ogos lalu susulan keadaan semasa penularan wabak Covid-19 di negeri itu.
Terdahulu Kerajaan Negeri Pulau Pinang memutuskan untuk menjadualkan semula sembilan majlis rasmi di peringkat negeri tahun ini susulan penularan wabak Covid-19 yang melanda dunia.
Tiga daripada majlis rasmi tersebut telah dibatalkan iaitu Perhimpunan Ummah Sempena Sambutan Ma'al Hijrah, Sambutan Hari Pahlawan dan Perhimpunan Ummah Sambutan Maulidur Rasul.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!