Pasangan kekasih dicekup bersama dadah setengah juta ringgit

Boon Keng (tiga dari kiri) pada sidang akhbar di IPD Tapah hari ini menunjukkan rampasan dadah hasil penahanan sepasang kekasih dalam kejadian Rabu lalu.
Boon Keng (tiga dari kiri) pada sidang akhbar di IPD Tapah hari ini menunjukkan rampasan dadah hasil penahanan sepasang kekasih dalam kejadian Rabu lalu.
A
A
A

TAPAH - Kegiatan mengedar dadah yang dilakukan sepasang kekasih terbongkar apabila kedua-duanya ditahan bersama 220 ketulan mampat dadah bernilai lebih setengah juta ringgit.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi Rabu lalu, lelaki berusia 47 tahun dan kekasihnya berusia 32 tahun ditahan sepasukan pegawai dan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dalam serbuan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Tapah arah selatan.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Goh Boon Keng berkata, kedua-dua mereka yang beralamat di Kuala Lumpur dipercayai aktif menjalankan aktiviti pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang sejak dua bulan lalu.

Beliau berkata, hasil maklumat dan risikan, polis berjaya menjejaki pasangan berkenaan bersama bekalan dadah yang disimpan dalam sebuah kenderaan.

"Ketika serbuan, mereka dalam perjalanan dari negeri di utara menghala ke Lembah Klang dan berhenti di hentian itu untuk berehat.

"Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Hyundai Starex dinaiki pasangan berkenaan telah menjumpai lapan guni berwarna putih yang di dalamnya mengandungi 220 ketulan mampat dadah jenis ganja seberat 214.21 kilogram.

"Nilai pasaran keseluruhan dadah yang dirampas ini adalah RM535,525 dipercayai untuk edaran di Lembah Klang dan boleh digunakan lebih 140,000 penagih," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Asisten Komisioner Lee King Chuan dan Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail.

Artikel Berkaitan:

Boon Keng berkata, suspek yang tidak bekerja berkemungkinan memperolehi bekalan dadah dari negara luar sebelum digunakan untuk pasaran setempat.

Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan sama ada kedua-duanya mempunyai hubung kait dengan tangkapan-tangkapan sebelum ini.

"Semakan mendapati lelaki itu mempunyai 12 rekod lampau dengan sembilan daripadanya berkaitan dadah, sementara wanita ada rekod dalam penagihan dadah.

"Kedua-duanya disahkan positif dadah dan kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 9 September ini bagi siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!