Program kesenian waktu malam mampu tarik pelancong ke Putrajaya
PUTRAJAYA - Perbadanan Putrajaya (PPj) diminta untuk menganjurkan program-program kesenian pada waktu malam bagi menarik lebih ramai pengunjung tempatan dan antarabangsa ke Putrajaya, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad.
Beliau berkata, ini adalah kerana ramai pelancong yang datang ke Putrajaya untuk melihat keindahan senibina tetapi mereka tidak bermalam memandangkan tidak ada aktiviti menarik yang boleh mengikat mereka untuk menginap di sini.
"Saya yakin aktiviti kesenian dan pertunjukan pentas yang sihat serta persembahan teater yang positif boleh mengikat lebih ramai pelancong untuk datang dan menginap juga di hotel-hotel kita di Putrajaya," katanya ketika melancarkan program Placemaking@ Jejak Sisiran ( Re-discovery City Trail ) di Presint 1 di sini hari ini.
Menurutnya, konsep persepakatan menerusi program-program agenda tempatan ini diharapkan dapat diteruskan bagi meningkatkan persekitaran fizikal kawasan-kawasan berpotensi di Putrajaya seperti di City Trail ini supaya lebih dikenali.
"Konsep "placemaking’’ ini merupakan pendekatan yang baik bagi meningkatkan daya tarikan kawasan-kawasan lapang di Putrajaya supaya lebih dikunjungi," katanya, sambil menambah program ini turut membuka peluang perniagaan dan pekerjaan kepada penduduk tempatan.
Terdahulu, Khalid bersama-sama 2,000 warga Putrajaya menyertai aktiviti Fun Walk@ Jejak Sisiran sejauh enam kilometer sebelum melancarkan projek Placemaking Mural Art@ Alamanda Steps di pusat membeli-belah Alamanda.
Sementara itu, Presiden PPj Datuk Dr. Aminuddin bin Hassim berkata program anjuran PPj dengan usaha sama Komuniti Putrajaya, badan bukan kerajaan dan agensi swasta melalui Program Local Agenda 21 adalah bertujuan mempromosikan dan menambah daya tarikan kawasan sisiran Tasik Putrajaya Presint 1 sepanjang tiga kilometer.
Katanya, ia bertujuan mempromosi dan menambah daya kawasan sisiran Tasik Putrajaya 1 sepanjang tiga kilometer dengan fasa permulaan difokuskan kepada Jejak Sisiran Presint 1 disusuli tujuh lokasi lain iaitu Dataran Putra, Laman Perdana, Persiaran Perdana, Dataran Rakyat Presint 4, Taman Seri Ampangan, Sisiran Tasik Presint 4 dan Ssisiran Tasik Presint 2.
Selain itu, pelbagai aktiviti lain seperti pertandingan mewarna kanak-kanak, memerhati burung , aktiviti jualan, trak makanan serta cabutan bertuah turut memeriahkan program itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!