Messi, Jangan datang ke EPL!
BINTANG Barcelona, Lionel Messi disarankan supaya tidak berhijrah ke saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) sebaliknya kekal beraksi di Nou Camp.
Pertahanan Liverpool, Andy Robertson berkata, kapten Barca itu perlu meneruskan karier bola sepaknya bersama kelab yang telah banyak berjasa kepadanya selama ini.
Malah menurut pemain berusia 26 tahun itu, skuad The Catalans itu jug telah banyak membantu dalam membentuk karakternya sebagai seorang pemain yang digeruni hari ini.
"Saya pernah berdepan Messi sebanyak dua kali dalam perlawanan Liga Juara-Juara (UCL) sebelum ini, dan mengakui dia antara pemain yang sering menghadirkan kesulitan kepada pemain pertahanan.
"Seboleh-bolehnya saya mahu mengelak pertembungan kali ketiga dengan Messi selepas aksi separuh akhir UCL pada 2019 lalu.
"Liverpool pun sebelum ini menolak untuk mendapatkan khidmat Messi disebabkan harganya dan saya harap situasi itu kekal supaya dia tidak beraksi di EPL," katanya.
Untuk rekod, Messi sebelum ini mengejutkan dunia bola sepak apabila memberitahu pengurusan Barcelona bahawa dia bertekad meninggalkan kelab Catalan itu selepas mengharungi musim yang hambar kali ini.
Berita itu sekali gus memberikan khabar angin bahawa pemain berusia 33 tahun bakal ke Manchester City.
Malah, berita itu mengandaikan bahawa City sebagai pilihan tepat apatah lagi ia dilaporkan antara pilihan terbaik Messi apatah lagi dibawah kendalian Pep Guardiola yang pernah melatihnya beberapa tahun sebelum ini.
Dalam pada itu, khidmat Messi dilihat antara pilihan terbaik The Citizens dalam usaha kembali menjadi kuasa bola sepak digeruni dan dihormati lawan selepas aksi kurang bertenaga pada saingan domestik dan Eropah musim lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!