Nu Ideaktiv lancar portal Jom RASA dan Baby Bazaar by Pa&Ma
SHAH ALAM – Nu Ideaktiv Sdn Bhd melancarkan dua portal direktori, promosi dan reviu produk usahawan tempatan, Jom RASA dan Baby Bazaar by Pa&Ma bagi membantu pengusaha kecil dan sederhana tempatan untuk mempromosikan produk-produk mereka.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syamil Fahim Mohamed Fahim, kedua-dua portal berkenaan dilancarkan bagi memenuhi kehendak dan segmen pasaran yang berbeza.
“Portal Jom RASA satu platform promosi dan ulasan segala produk makanan keluaran peniaga tempatan. Lebih menarik lagi, portal ini memaparkan segala produk jualan berkaitan makanan dari seluruh Malaysia.
“Baby Bazaar by Pa&Ma pula merupakan sebuah portal direktori, promosi, dan reviu produk bayi, ibu hamil serta ibu berpantang, sekali gus membantu mereka membeli segala kelengkapan ibu dan anak dari rumah sahaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, portal berkenaan juga memberi solusi kepada pengguna selain mempermudahkan transaksi jual beli atas talian dengan mengumpulkan para peniaga dari seluruh Malaysia di bawah satu platform.
"Kami nampak kekurangan adanya direktori yang memudahkan pengguna mencari apa yang mereka inginkan. Inspirasi di sebalik penubuhan kedua portal ini dilahirkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di mana kita dapat lihat lebih ramai orang membeli belah secara atas talian.
“Kedua portal ini bukan sahaja untuk mempermudahkan pengguna tetapi juga membantu para peniaga kecil di waktu sebegini. Jom RASA dan Baby Bazaar by Pa&Ma tidak mengambil sebarang komisyen atas keuntungan yang dibuat hasil transaksi yang berlaku,” katanya.
Menurut Syamil Fahim, sebagai promosi pembukaan, portal Jom Rasa dan Baby Bazaar by Pa&Ma ini menawarkan slot percuma untuk peniaga yang mendaftar.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya komited dalam melahirkan portal berkaitan dengan jenama lain di bawah Nu Ideaktiv di samping menumpukan kepada pembangunan portal berkaitan perkahwinan dan dekorasi kediaman dalam masa terdekat.
Orang ramai boleh melayari laman web jomrasa.my, Facebook: Jom Rasa dan Instagram: @jomrasamys serta Baby Bazaar by Pa&Ma, laman web babybazaar.my dan Facebook: PA&MA Fiesta untuk maklumat lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!