Perbuatan sumpah palsu punca maksiat
“SIFAT ibadurrahman mengelakkan diri daripada melakukan perbuatan sumpah palsu dan perbuatan tidak bermanfaat yang menjadi punca kejahatan dan kemaksiatan.”
Demikian kata Pengerusi Pusat Kajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Hamdi Ishak ketika ditemui di pejabatnya di sini mengenai sifat ibadurrahman yang ke-10 dengan berpandukan ayat 72 dalam surah al-Furqan.
Hamdi berkata, orang yang bersumpah palsu atau berbohong mempunyai kepentingan diri dan keduniaan.
“Sumpah palsu sangat dilarang dalam Islam. Ia termasuk dosa besar. Berbohong menjadikan seseorang itu terlepas daripada satu kesalahan.
“Jika dia melakukan pembohongan secara berterusan dan menuduh dengan tujuan untuk menjatuhkan maruah seseorang, ia menyebabkan hak orang lain dirampas.
“Akibat sifat tamak dan dengki, mereka sanggup bersumpah palsu dan berbohong untuk mendapat habuan dan keseronokan sendiri sehingga melupakan balasan di akhirat,” katanya di sini baru-baru ini.
Hamdi berkata, iman merupakan elemen penting sebagai benteng dalam diri seseorang.
Katanya, Rasulullah SAW sebagai pemimpin dan contoh teladan kepada umat manusia sehingga berjaya melahirkan generasi al-Quran, seterusnya membangunkan umat dan negara yang hebat.
“Rasulullah SAW membina iman para sahabat terlebih dahulu sehingga patuh kepada ALLAH dan Rasul-Nya. Mereka sanggup mempertahankan iman walau apa pun terjadi.
“Untuk mengelakkan diri daripada terjerumus ke dalam dosa besar, kita perlu mengukuhkan iman dan ikhlas serta beramal soleh. Iman sangat penting dibentuk daripada keluarga. Kita perlu betulkan niat untuk membentuk keluarga dengan tujuan mencari keredaan ALLAH.
“Apabila tiada sifat munafik dalam diri, ia dapat menyemaikan rasa kasih sayang dalam keluarga. Tiga tanda orang munafik adalah apabila bercakap, dia berbohong; berjanji tetapi tidak ditepati dan diberi amanah dia khianati. Sifat munafik ini boleh merosakkan dan meruntuhkan keluarga, masyarakat dan negara.
“Oleh itu, sumpah palsu dan bohong perlu dijauhi. Semoga ALLAH memberi taufik dan hidayah agar termasuk dalam golongan orang soleh dan taat. Sifat ibadurrahman yang dikasihi ALLAH tidak akan berbohong kerana ALLAH Maha Mengetahui dari segi zahir dan batin,” katanya.
Hamdi merupakan antara 12 ilmuwan yang masing-masing mengupas 12 personaliti ibadurrahman berpandukan Surah Al-Furqan, ayat 63 hingga 77.
Surah ke-25 al-Quran itu menjadi surah pilihan bagi pengisian Malaysia #QuranHour, 'Malaysia Harmoni: Bina 12 Personaliti Ibadurrahman' yang diadakan pada 30 Ogos lalu.
Program sejam berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal itu dicetuskan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas dan di bawah naungan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Inisiatif itu mendapat kerjasama rakan strategik termasuk Pusat Pelancongan Islam (ITC), Majlis Pengarah-pengarah Perpustakaan Awam Malaysia, Rumah Ngaji dan Sinergi Media dengan membawa misi MengQurankan Bangsa, Mengikhlaskan Ummah untuk dicapai pada 1500H.
Untuk maklumat lanjut, sila ikuti Pesan Ilmuwan - 12 Personaliti Ibadurrahman dengan melayari https://bit.ly/ibadurrahmanYouTube dan https://www.facebook.com/WorldQuranHour.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!